4 maut bot karam di Korea Selatan

4 maut bot karam di Korea Selatan

Bot pukat tunda itu membawa lapan warga Korea Selatan, tiga warga Vietnam dan tiga warga Indonesia dilaporkan hilang kira-kira 17km timur Pulau Habaek.

drowning lemas
Setakat ini, pengawal pantai dan bot nelayan lain menyelamatkan lapan kru, tetapi empat warga Korea Selatan, termasuk kapten berusia 66 tahun disahkan maut. (Gambar Freepik)
YEOSU:
Sebuah bot pukat tunda yang membawa 14 kru karam di perairan selatan Korea Selatan awal pagi Ahad, mengorbankan empat dan enam masih hilang, lapor Agensi Berita Yonhap.

Bot seberat 139 tan itu membawa lapan warga Korea Selatan, tiga warga Vietnam dan tiga warga Indonesia sebelum dilaporkan hilang pada 1.41 pagi waktu tempatan, kira-kira 17km timur Pulau Habaek dekat Yeosu.

Setakat ini, pengawal pantai dan bot nelayan lain menyelamatkan lapan kru, namun empat warga Korea Selatan, termasuk kapten berusia 66 tahun disahkan maut.

Lima daripada kru terselamat itu termasuk dua warga Vietnam dan dua warga Indonesia, dijumpai menaiki rakit keselamatan, manakala selebihnya ditemui hanyut di perairan itu.

Seorang kru warga Korea Selatan yang ditemui tidak sedarkan diri pada 8.42 pagi, kemudian disahkan meninggal dunia.

Dua kru warga Indonesia yang terselamat dibawa ke pejabat pengawal pantai di Yeosu untuk membantu siasatan, manakala kru warga Vietnam sedang dirawat di hospital berhampiran selepas menunjukkan tanda hipotermia.

Seorang kru asing mendakwa bot dinaiki itu terbalik akibat tiupan angin dan ombak, namun pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi menentukan punca sebenar.

Pengawal pantai mengerahkan 23 kapal dan lapan pesawat, dengan bantuan agensi lain serta bot nelayan dalam usaha mencari kru masih hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.