
Dalam temu bual bersama kumpulan media Jerman, Redaktionsnetzwerk Deutschland (RND) yang disiarkan pada Sabtu, Scholz mengecam cadangan Trump agar bantuan ketenteraan berterusan kepada Ukraine harus dikaitkan dengan akses sumber asli negara itu.
“Ukraine sedang diserang dan (Jerman) membantu tanpa mengharapkan bayaran sebagai balasan. Itulah sepatutnya menjadi sikap semua pihak,” kata Scholz merujuk sokongan ketenteraan Jerman kepada Ukraine dalam menentang Rusia.
Sebelum ini, Scholz menyifatkan permintaan sedemikian “sangat mementingkan diri” selepas sidang kemuncak tidak rasmi Kesatuan Eropah (EU) di Brussels.
Beliau turut mengecam ancaman Trump mengenakan tarif ke atas import EU.
“Ekonomi global memerlukan sekatan perdagangan dikurangkan, bukan lebih banyak,” katanya.
Jika ancaman itu menjadi kenyataan, “Suruhanjaya Eropah mampu bertindak balas dalam masa beberapa jam”, katanya mengulangi kenyataan sama di Brussels sebelum ini.
Scholz menegaskan beliau akan terus berusaha mengekalkan hubungan baik dengan Washington, sambil menekankan AS sekutu paling penting Jerman.
Namun, sebagai ketua ekonomi terbesar EU, beliau melihat ia sebagai tugasnya dalam mempertahankan kepentingan rantau itu, termasuk apabila negara kecil seperti Denmark berdepan ancaman Trump untuk menduduki Greenland.