
Dalam kenyataan di akaun X, Sheinbaum berkata, beliau mengadakan panggilan telefon dengan Trump yang mencapai mencapai persetujuan mengenai sempadan bersama dan pengedaran fentanyl.
Sebagai sebahagian daripada komitmen Mexico, Sheinbaum berkata, seramai 10,000 tentera akan dikerahkan di sepanjang sempadan AS-Mexico untuk memerangi penyeludupan fentanyl. Sebagai balasan, AS berjanji mengekang penyeludupan senjata api ke Mexico.
Sheinbaum turut mengumumkan tarif akan digantung sebulan, meredakan ketegangan buat sementara selepas Trump mengenakan tarif 25% ke atas semua barangan Mexico – tindakan yang mencetuskan tentangan kuat pegawai Mexico.
Trump mengesahkan perbualan di Truth Social dan menyifatkannya “sangat mesra”.
Beliau berkata, Sheinbaum bersetuju segera mengerahkan 10,000 tentera Mexico ke sempadan untuk menghentikan kemasukan fentanyl dan pendatang tanpa izin ke AS.
“Kami seterusnya bersetuju menghentikan serta-merta tarif selama sebulan, di mana kami akan mengadakan rundingan diketuai Setiausaha Negara Marco Rubio, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dan Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick serta wakil peringkat tinggi Mexico.
“Saya berharap untuk mengambil bahagian dalam rundingan tersebut dengan Presiden Sheinbaum ketika kami cuba mencapai ‘perjanjian’ antara kedua-dua negara,” tulis Trump.
Hujung minggu lalu, Sheinbaum menolak tuduhan AS bahawa kerajaannya bersekongkol dengan jenayah terancang – pada hari sama tarif diumumkan.
Beliau menolak dakwaan itu sebagai fitnah dan mengkritik tarif, dengan alasan diplomasi cara tepat untuk menangani kebimbangan bersama.
“Bukan dengan mengenakan tarif masalah diselesaikan, tetapi melalui perbincangan dan dialog, seperti yang kami lakukan dalam beberapa minggu lepas dengan Jabatan Negara untuk menangani fenomena migrasi; dalam kes kami, dengan menghormati hak asasi manusia.”