
“Kami menekankan kepentingan semua pihak untuk mematuhi sepenuhnya semua syarat perjanjian gencatan senjata di Gaza serta memulakan rundingan fasa kedua.
“Seharusnya tidak ada kompromi untuk melibatkan diri dalam rundingan fasa kedua,” katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Luar Turki, Hakan Fidan di Doha pada Ahad.
Sheikh Mohammed berkata, rundingan fasa kedua dijadualkan bermula pada Isnin.
“(Tetapi) tiada butiran jelas mengenai ketibaan delegasi dan permulaan rundingan, dan kami tidak sabar melihat beberapa pergerakan dalam beberapa hari akan datang.”
Beliau menekankan kepentingan komitmen kedua-dua pihak untuk melibatkan diri dengan niat baik.
Mengenai cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza, Sheikh Mohammed menegaskan semula penolakan tegas Qatar terhadap sebarang pemindahan paksa.
“Kami terlibat dengan pentadbiran Trump dan kami berharap tidak akan ada perselisihan faham,” katanya sambil menekankan komitmen negaranya untuk memastikan rakyat Palestin kekal di tanah mereka.
Semasa mesyuarat menteri Arab di Kaherah pada Sabtu, Sheikh Mohammed mengulangi penentangan kuat Qatar terhadap sebarang cubaan mengeluarkan rakyat Palestin secara paksa dari Gaza.
Pada 19 Jan lalu, perjanjian gencatan senjata fasa pertama selama enam minggu antara Hamas dan Israel mula berkuat kuasa, yang membolehkan rundingan diteruskan bagi fasa seterusnya.
Perjanjian itu dimediasi Mesir dan Qatar dengan sokongan AS.
Perjanjian gencatan senjata tiga fasa itu merangkumi pertukaran tahanan serta mengekalkan ketenangan, dengan matlamat utama untuk mencapai gencatan senjata sepenuhnya dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.