Kedutaan dirompak, dibakar di Congo

Kedutaan dirompak, dibakar di Congo

Kedutaan Perancis, Uganda, Kenya, dan Afrika Selatan antara terkesan.

people attack
Penunjuk perasaan dilihat berada di jalan utama, mengganggu lalu lintas, menyekat aktiviti perdagangan, membakar tayar, dan melaungkan slogan membantah situasi teruk di Goma. (Gambar AP)
KINSHASA:
Beberapa kedutaan di Kinshasa, ibu negara Republik Demokratik Congo (DRC) dirosak, dirompak, malah dibakar ketika demonstrasi besar-besaran terhadap tindakan antarabangsa yang didakwa tidak memadai dalam menangani keganasan berterusan di bahagian timur negara itu, menurut wartawan Xinhua.

Di Kinshasa, bandar itu dilanda kekacauan apabila penduduk tempatan mengadakan tunjuk perasaan membantah situasi teruk di Goma, ibu kota wilayah Kivu Utara.

Penunjuk perasaan dilihat berada di jalan utama, mengganggu lalu lintas, menyekat aktiviti perdagangan, membakar tayar, dan melaungkan slogan di hadapan kedutaan Amerika Syarikat dan negara Barat lain, serta ibu pejabat misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebahagian kawasan luar bangunan kedutaan Perancis dibakar penunjuk perasaan, sementara kedutaan Uganda yang terletak berhampiran dirompak. Bunyi letupan kedengaran di kawasan sekitar kedutaan Rwanda dan perkhidmatan konsulat AS, menurut seorang wartawan Xinhua.

Sementara itu, agensi berita Jerman dpa memetik Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot yang membuat hantaran di X tentang kebakaran di kedutaan Perancis di Kinshasa, yang disifatkannya terkawal.

“Serangan ini tidak boleh diterima,” katanya sambil menjelaskan segala usaha sedang dilakukan memastikan keselamatan warga Perancis dan kakitangan kedutaan.

Kerajaan Kenya berkata, kedutaan mereka dan kedutaan Afrika Selatan serta Uganda juga menjadi sasaran, menurut dpa.

Blaise Kilimbalimba, komander polis Kinshasa menggesa penunjuk perasaan untuk bertenang dan pulang ke rumah, memberi amaran kepada mereka yang mencetuskan kekacauan akan menghadapi akibat serius.

Kekacauan kembali tercetus di Goma pada pagi Selasa selepas malam yang agak tenang. Pemberontak Gerakan 23 Mac (M23) menyerang Goma sejak lewat Ahad.

Sumber tempatan memberitahu Xinhua, pertempuran sengit berlaku sejak awal pagi Selasa antara tentera DRC dan pemberontak berhampiran lapangan terbang, sebuah lokasi strategik pernah dikuasai M23.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.