Defisit dagang, EU sangkal dakwaan Trump

Defisit dagang, EU sangkal dakwaan Trump

Suruhanjaya Eropah berkata defisit USD350 bilion dikatakan itu tidak wujud.

EU HQ building
Suruhanjaya Eropah berkata, EU ada lebihan dalam perdagangan barangan, manakala AS punya lebihan perdagangan perkhidmatan sebagai menolak dakwaan defisit USD350 bilion dikatakan Donald Trump. (Gambar Wikipedia)
BRUSSELS:
Suruhanjaya Eropah menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menyatakan Amerika Syarikat mengalami defisit perdagangan sebanyak USD350 bilion dengan Kesatuan Eropah (EU), lapor agensi berita Jerman dpa.

Jurucakap suruhanjaya menyangkal kenyataan itu, dan berkata defisit USD350 bilion itu tidak wujud sebaliknya memberi gambaran yang AS dan EU mempunyai kekuatan saling melengkapi. “Kami mempunyai lebihan dalam perdagangan barangan, AS mempunyai lebihan dalam perdagangan perkhidmatan,” katanya.

Dalam sidang media di Rumah Putih pada Isnin, Trump berkata defisit perdagangan AS dengan EU berjumlah USD350 bilion dan kerana itu sekali lagi mengancam blok tersebut dengan tarif.

“Mereka melayan kita (AS) dengan sangat buruk, jadi mereka akan dikenakan tarif,” kata Trump, sambil mendakwa EU tidak membeli kereta atau produk pertanian.

Bagaimanapun, menurut angka EU, AS mengeksport barangan bernilai €347.1 bilion ke EU pada 2023, sementara barangan bernilai €503.8 bilion dieksport dari EU ke AS.

Dalam tahun yang sama, kata jurucakap itu, eksport perkhidmatan AS ke EU berjumlah €396.4 bilion, berbanding €292.4 bilion eksport EU ke AS.

Jurucakap suruhanjaya itu, berkata blok berkenaan berhasrat bekerjasama secara konstruktif dengan pentadbiran baharu AS, namun bersedia untuk mempertahankan kepentingannya jika perlu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerman Bernd Lange, berkata beliau juga melihat adanya kesediaan untuk berunding oleh pihak Trump.

Lange berkata sebagai contoh, untuk mengurangkan defisit dalam perdagangan barangan, EU boleh mengimport lebih banyak gas asli cecair, teknologi ketenteraan, dan barangan pertanian dari AS.

Selain itu, beliau berkata kemungkinan lain adalah dengan mengurangkan cukai import untuk kereta AS, yang berada pada kadar 10%, jauh lebih tinggi berbanding kadar 2.5% di AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.