1 maut, 2 cedera dalam insiden tikaman rambang

1 maut, 2 cedera dalam insiden tikaman rambang

Suspek dipercayai menyasarkan mangsa secara rambang dan polis masih meneruskan operasi memburunya, lapor agensi berita Kyodo.

tikam stab
Ketiga-tiga mangsa diserang ketika sedang menunggu bas berhampiran stesen JR Nagano menyebabkan salah seorangnya maut ditikam dan dua lagi cedera. (Gambar fail)
NAGANO:
Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam insiden tikaman rambang berhampiran Stesen JR Nagano pada Rabu malam, lapor agensi berita Kyodo yang memetik kenyataan polis tempatan dan pihak bomba.

Penyerang yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan senjata tajam kini sedang diburu polis. Sumber penyiasat menyatakan bahawa suspek dipercayai menyasarkan mangsa secara rambang.

Ketiga-tiga mangsa diserang ketika sedang menunggu bas berhampiran stesen itu. Seorang daripada mangsa, Hiroyoshi Maruyama, 49, mengalami luka akibat ditikam pada bahagian kiri badan dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya, menurut pihak berkuasa.

Perkhidmatan kecemasan dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira 8.05 malam itu selepas seorang pemanggil melaporkan seorang lelaki tidak sedarkan diri selepas serangan itu.

Seorang lelaki dalam lingkungan 30-an mengalami kecederaan serius akibat ditikam di bahagian belakang, manakala seorang wanita berusia 30-an cedera selepas diserang dan terjatuh, menurut pegawai.

Polis memaklumkan bahawa seorang saksi menggambarkan suspek sebagai lelaki bertubuh kurus dalam lingkungan 40-an, dengan ketinggian antara 165 hingga 175 sentimeter.

Suspek memakai cermin mata dan menutup kepalanya dengan kain putih. Lelaki itu kali terakhir dilihat melarikan diri ke arah selatan menuju ke kawasan pusat bandar Nagano.

Polis masih meneruskan operasi memburu penyerang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.