Hari pertama gencatan senjata, lebih 550 trak bantuan masuk Gaza

Hari pertama gencatan senjata, lebih 550 trak bantuan masuk Gaza

Sumber berkata bantuan kemanusiaan itu merangkumi bahan api, bekalan perubatan dan makanan.

gaza ap
Trak bantuan kemanusiaan memasuki persimpangan Kerem Shalom dari Mesir ke Semenanjung Gaza, sebaik saja perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada Ahad. (Gambar AP)
GAZA CITY:
Lebih 550 trak bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza melalui lintasan Rafah pada Ahad, hari pertama pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.

“Sejak pagi Ahad, 552 trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza melalui lintasan, termasuk 242 trak untuk utara Gaza,” kata sumber Kementerian Dalam Negeri Gaza kepada Agensi Anadolu (AA).

Sumber itu menjelaskan ia termasuk penghantaran bahan api, bekalan perubatan, makanan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Beliau turut mengesahkan usaha sedang dilakukan untuk memudahkan kemasukan lebih banyak bantuan bagi memenuhi keperluan penduduk Gaza.

Dalam laporan berasingan, saluran berita Al-Qahera melaporkan 330 trak bantuan, termasuk 20 trak bahan api, memasuki Gaza melalui lintasan dikawal Israel di Al-Auja dan Kerem Shalom (selatan).

Perjanjian gencatan senjata Gaza mula berkuat kuasa 11.15 pagi Ahad (waktu tempatan), selepas lewat beberapa jam akibat tuduhan Israel terhadap Hamas yang dikatakan melambatkan senarai tawanan bakal dibebaskan.

Ia pada mulanya dijadualkan bermula 8.30 pagi waktu tempatan.

Sejak 7 Okt 2023, hampir 47,000 orang yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh, manakala lebih 110,700 lagi cedera dalam serangan Israel di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.