
Letusan di daerah Halmahera Barat pada 7.35 malam waktu tempatan Sabtu itu berlangsung kira-kira tiga minit lima saat, mengeluarkan abu tebal serta awan gelap ke arah barat dan memuntahkan lava sejauh 2km dari kawah gunung berapi itu.
Pihak berkuasa melarang semua aktiviti awam, termasuk mendaki dalam radius 4km dari gunung berapi itu dan zon sejauh 5.5km ke arah utara dari kawah aktif.
“Bagi menjangkakan potensi bahaya, penduduk digesa memakai pelitup muka dan pelindung mata seperti cermin mata,” kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari dalam kenyataan pada Ahad.
Pihak berkuasa tempatan juga diminta berkoordinasi dengan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) untuk pengurangan risiko.
Aktiviti gunung berapi itu kekal di tahap III atau “berjaga-jaga” kerana letusannya berubah-ubah sejak Jun 2024, dengan beberapa hari mencatatkan sehingga 70 letusan.
Jumaat lalu, gunung berapi itu meletus dua kali, menghamburkan awan mengandungi abu setinggi 3,000m ke udara, dengan awan abu bergerak ke arah selatan dan tenggara.
Menurut PVMBG, letusan sedemikian fenomena biasa bagi Gunung Ibu berdasarkan tahap aktivitinya ketika ini. Orang ramai dinasihatkan terus berwaspada dan mengelak terpengaruh maklumat palsu.