
Kementerian memaklumkan, bahawa RUU pemeliharaan keharmonian kaum itu merujuk rapat kepada undang-undang sedia ada, termasuk Akta Pemeliharaan Keharmonian Agama (MHRA) yang digubal pada 1990 untuk mengekalkan keharmonian agama.
“RUU ini mencerminkan tekad teguh kami untuk memperkukuh perpaduan kaum dan kekal bersatu sebagai satu rakyat. Ia mencapai keseimbangan antara memastikan wacana awam bebas daripada ucapan berunsur kebencian, sambil menyediakan ruang untuk perbincangan yang sah,” menurut kenyataan.
Cadangan utama dalam RUU ini termasuk memperkenalkan rejim perintah sekatan (RO) untuk menangani kandungan menjejaskan keharmonian kaum, pendekatan berasaskan komuniti dalam menangani insiden perkauman, serta langkah keselamatan mengelakkan entiti berasaskan kaum digunakan sebagai saluran pengaruh asing.
RUU itu akan membolehkan menteri dalam negeri mengeluarkan RO terhadap individu terlibat dalam komunikasi, pengeluaran, atau penyebaran kandungan menjejaskan usaha mengekalkan keharmonian kaum di Singapura.
RO berkaitan kandungan perkauman ini antaranya, boleh melarang individu berkomunikasi atau menyebarkan maklumat atau bahan tertentu, serta daripada memegang jawatan dalam lembaga pengarang atau jawatankuasa penerbitan tertentu.
Kegagalan mematuhi RO adalah satu kesalahan. Namun, sebagai langkah keselamatan, semua RO akan disemak sebuah badan bebas dikenali Majlis Presiden bagi Keharmonian Kaum dan Agama (PCRRH) serta tertakluk kepada pengesahan presiden.
Sementara itu, RUU ini turut mencadangkan agar entiti berasaskan kaum mematuhi dasar bagi mencegah pengaruh asing, termasuk keperluan mendedahkan sumbangan asing dan tanpa nama yang diterima, hubungan luar, serta komposisi kepimpinan mereka.
Entiti ini juga mesti mematuhi sekatan kepimpinan, yang mengkehendaki lebih separuh daripada badan pentadbir entiti terdiri daripada warganegara Singapura, selain memastikan pegawai bertanggungjawab adalah warganegara atau penduduk tetap Singapura.
Langkah-langkah ini bertujuan melindungi Singapura daripada pengaruh asing berniat jahat yang mungkin mengeksploitasi isu perkauman untuk melemahkan keharmonian kaum demi mencapai agenda mereka.
Namun, RUU ini hanya terpakai kepada entiti berasaskan kaum ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Kompeten.
“Sebuah entiti boleh disahkan jika Pihak Berkuasa Kompeten berpuas hati bahawa matlamat, tujuan atau aktivitinya termasuk mewakili atau mempromosikan kepentingan mana-mana kaum, atau membincangkan isu berkaitan mana-mana kaum dan penetapan dianggap perlu untuk mencegah, mengelakkan atau mengurangkan pengaruh asing yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di Singapura,” menurut kenyataan itu.
Sebagai permulaan, persatuan dan perniagaan yang berkaitan dengan kaum Cina, Melayu, dan India akan ditetapkan di bawah RUU ini.