
Ejen menemui bahan letupan itu ketika menggeledah rumah keluarga Brad Spafford berusia 36 tahun, selepas dimaklumkan jiran bahawa suspek sedang menyimpan senjata dan peluru buatan sendiri.
Menurut dokumen mahkamah yang difailkan Isnin lalu, Spafford yang bekerja di sebuah kedai mesin menggunakan gambar Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden untuk latihan menembak dan menyuarakan sokongan bagi pembunuhan politik.
Beberapa bahan letupan seperti bom paip ditemui dalam beg galas di bilik tidur rumahnya, yang dikongsi Spafford bersama isteri dan dua anak masih kecil, menurut dokumen itu.
Bukan itu saja, peti sejuk Spafford turut disimpan satu balang HMTD – alat letupan “sangat tidak stabil” – dilabel “Jangan Sentuh” bersama makanan.
Rumahnya juga mempunyai buku nota “resipi” membuat bahan letupan, termasuk bom tangan, menurut dokumen itu.
Seorang jiran memberitahu ejen FBI, Spafford pernah bercakap mahu melindungi hartanahnya dengan “turret 360 darjah untuk senjata 50 kaliber di bumbung”.
Pendakwa raya berkata, Spafford yang didakwa memiliki senapang secara haram, mungkin berdepan tuduhan tambahan untuk bahan letupan itu, yang masing-masing membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun.
Dalam pemfailan berasingan pada Selasa, peguam Spafford menyifatkannya “lelaki mementingkan keluarga yang bekerja keras tanpa rekod jenayah” dan berhujah supaya anak guamnya dibebaskan.