
“Kami menegaskan pendirian kami dengan mengutuk sebarang tindakan menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam, termasuk hospital.
“Kami berulang kali menyeru tempat-tempat ini dihormati sebagai kawasan selamat, di mana orang ramai mendapatkan bantuan perubatan,” kata jurucakap bersekutu kepada ketua PBB, Florencia Soto Nino dalam sidang media.
Mengenai penahanan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussam Abu Safiya di Gaza, Nino berkata: “Mana-mana individu yang juga orang awam tidak bersalah dan berusaha membantu orang lain tidak patut ditahan.”
“Saya fikir sudah lama kami membincangkan perkara ini – tiada tempat selamat di Gaza,” katanya sambil menambah PBB sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak menyokong usaha memastikan keselamatan orang awam, termasuk pengarah hospital itu.
Memetik Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Nino berkata, 10 pesakit dipindahkan dari Hospital Kamal Adwan, dengan empat daripadanya ditahan pasukan Israel di pusat pemeriksaan semasa meninggalkan kawasan itu.
“Tujuh pesakit bersama 15 penjaga dan petugas kesihatan masih berada di hospital terbabit yang kini mengalami kerosakan teruk serta tidak lagi mampu menyediakan rawatan perubatan.
“Pasukan kami turut melaporkan hospital itu kini tiada bekalan air, elektrik dan kemudahan sanitasi.”
Tegasnya, sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan secara berterusan mengakibatkan operasi bantuan lumpuh ketika rakyat amat memerlukan makanan, tempat perlindungan dan pakaian, khasnya dalam musim sejuk yang memburukkan lagi keadaan mereka.
“OCHA hari ini memberi amaran semua keperluan asas untuk kelangsungan hidup penduduk sedang dimusnahkan.
“Ini termasuk serangan ke atas perkhidmatan kesihatan, kecemasan dan akses kemanusiaan, selain serangan tanpa henti yang membunuh dan mencederakan orang awam setiap jam.”