9 Jan pengebumian negara buat Jimmy Carter, jabatan kerajaan ditutup

9 Jan pengebumian negara buat Jimmy Carter, jabatan kerajaan ditutup

Presiden Joe Biden mengarahkan semua jabatan dan agensi persekutuan ditutup pada 9 Jan depan serta bendera bangunan kerajaan dikibarkan separuh tiang.

Presiden AS ke-39 Jimmy Carter menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Plains, Georgia selepas berada dalam penjagaan hospis sejak 18 Feb 2023. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Upacara pengebumian negara untuk Jimmy Carter, presiden Amerika Syarikat ke-39 akan berlangsung pada 9 Jan depan di Washington National Cathedral, lapor Agensi Anadolu memetik laporan ABC News.

Presiden Joe Biden mengisytiharkan tarikh itu sebagai hari berkabung negara bagi menghormati Carter, yang digambarkannya “individu berprinsip, jujur dan rendah hati”.

Carter menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Plains, Georgia dikelilingi ahli keluarga selepas berada dalam penjagaan hospis sejak 18 Feb 2023, menurut Carter Center.

“Jimmy Carter menjalani kehidupan yang diukur bukan dengan kata-kata, tetapi dengan tindakannya,” kata Biden dalam ucapan disiarkan secara langsung untuk memperingati pemergian pemimpin itu.

Beliau memuji legasi Carter sebagai pejuang keamanan, hak sivil, hak asasi manusia dan demokrasi global, termasuk usaha gigihnya membina rumah untuk gelandangan.

“Hari ini, Amerika dan dunia kehilangan pemimpin luar biasa. Beliau adalah negarawan dan dermawan, dan Jill serta saya kehilangan seorang sahabat rapat.”

Biden turut menggambarkan hubungan peribadinya dengan Carter yang terjalin lebih 50 tahun, termasuk sokongan Carter untuk kempen presidennya dan dorongan moral ketika anak lelaki Biden, Beau meninggal dunia.

Sebagai tanda penghormatan, Biden turut menandatangani perintah eksekutif pada Isnin yang mengarahkan semua jabatan dan agensi persekutuan ditutup.

Bendera di bangunan kerajaan dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan kepada Carter.

Selain pengebumian negara, beberapa upacara awam turut dirancang di Atlanta dan Washington sebelum upacara pengebumian persendirian di kampung halamannya di Plains.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.