
Kenyataan badan PBB itu dikeluarkan susulan serangan Israel ke atas Hospital Kamal Adwan yang mengakibatkan kemusnahan hospital terakhir di utara Gaza, lapor Agensi Anadolu.
Hampir 50 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel Khamis lalu yang menyasarkan sebuah bangunan bersebelahan Hospital Kamal Adwan, termasuk tiga petugas perubatan dan pekerja hospital.
“WHO amat terkejut dengan serangan ke atas Hospital Kamal Adwan semalam yang menyebabkan fasiliti kesihatan utama terakhir di utara Gaza tidak lagi berfungsi,” menurut kenyataan itu.
“Laporan awal menunjukkan beberapa bahagian hospital terbakar dan mengalami kerosakan teruk akibat serangan termasuk makmal, unit pembedahan, jabatan kejuruteraan dan penyelenggaraan, bilik operasi serta stor perubatan.
“Pada awal hari kejadian, 12 pesakit dan seorang kakitangan kesihatan wanita dilaporkan terpaksa dipindahkan ke Hospital Indonesia yang musnah dan tidak berfungsi, di mana rawatan tidak dapat diberikan.
“Sebahagian besar kakitangan, pesakit stabil dan pengiring dipindahkan ke lokasi berdekatan.”
Laporan turut menyebut ada individu dipaksa menanggalkan pakaian dan berjalan ke selatan Gaza.
Sepanjang dua bulan lalu, kawasan sekitar hospital kekal “tidak menentu” dengan serangan hampir setiap hari ke atas hospital dan petugas kesihatan, menurut WHO.
“Misi kecemasan WHO ke Hospital Indonesia sedang dirancang esok bagi memindahkan pesakit dengan selamat ke selatan Gaza untuk rawatan lanjut.”
Sejak awal Oktober lalu, WHO mengesahkan sekurang-kurangnya 50 serangan terhadap kemudahan kesihatan, sama ada di dalam atau berhampiran hospital.
WHO turut menyeru usaha segera bagi memastikan hospital di utara Gaza dapat berfungsi kembali.
Serangan Israel meragut hampir 45,500 nyawa di Gaza sejak 7 Okt 2023 menyebabkan sebahagian besar kawasan itu musnah.
Bulan lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanan, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di wilayah itu.