Kadar kelahiran rendah, Taiwan tutup 10 sekolah, 4 IPT

Kadar kelahiran rendah, Taiwan tutup 10 sekolah, 4 IPT

Sebanyak 14 institusi itu terdiri sembilan sekolah rendah, sebuah sekolah menengah rendah, dan empat IPT.

baby bayi
Kementerian Pendidikan Taiwan berkata penurunan kadar kelahiran menyebabkan penurunan enrolmen di semua peringkat pendidikan. (Gambar Rawpixel)
TAIPEI:
Penurunan kadar pendaftaran sekolah susulan kadar kelahiran rendah menyebabkan penutupan 14 institusi pendidikan di seluruh Taiwan pada 2024, lapor Agensi Berita Pusat (CNA), memetik statistik dikeluarkan Kementerian Pendidikan (MoE).

MoE mendedahkan, 14 institusi itu terdiri sembilan sekolah rendah, sebuah sekolah menengah rendah, dan empat institusi pengajian tinggi.

Daripada sembilan sekolah rendah, empat terletak di Taoyuan, satu di Kaohsiung, satu di Nantou County, dan tiga di Pingtung County.

Selain daripada penurunan kadar kelahiran menyebabkan penurunan enrolmen di semua peringkat pendidikan, MoE juga menyatakan pembinaan Aerotropolis Taoyuan sebagai antara sebab mengapa empat sekolah rendah di bandar itu ditutup.

Satu-satunya sekolah menengah rendah di Taiwan yang menutup pintunya pada 2024 ialah sebuah sekolah di Penghu County.

MoE menyatakan bahawa empat institusi pengajian tinggi yang ditutup ialah Tung Fang Design University di Kaohsiung, MingDao University di Changhua County, Tatung Institute of Commerce and Technology di Chiayi City, dan TransWorld University di Yunlin County.

Kementerian itu menambah bahawa kecuali I-Kuan Tao College di Kaohsiung, tiada kolej disenaraikan sebagai berisiko ditutup antara 2025 hingga 2026.

Selain itu, lapan sekolah menengah di Taiwan berhenti menerima kemasukan pada 2024, yang bermakna ia mungkin akan ditutup dalam beberapa tahun akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.