Tentera Zionis letak kotak sarat bahan letupan dekat hospital utara Gaza

Tentera Zionis letak kotak sarat bahan letupan dekat hospital utara Gaza

Pengarah Hospital Kamal Adwan, Hussam Abu Safiya berkata tentera Israel baru-baru ini meletupkan bangunan kediaman dekat hospital menggunakan alat letupan sama.

israel bom hospital fb
Tangkap layar video dikongsi Pengarah Hospital Kamal Adwan, Hussam Abu Safiya menunjukkan peranti robotik tentera Israel meletakkan kotak kayu di luar pintu pagar hospital di utara Gaza itu.
GAZA CITY:
Tentera Israel meletakkan kotak berisi bahan letupan dekat pintu pagar Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, berdasarkan rakaman video dikongsi pada Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA).

Rakaman dikongsi pengarah hospital, Hussam Abu Safiya menunjukkan sebuah kenderaan tentera Israel meletakkan kotak kayu mengandungi simbol berbahaya (segitiga dengan tanda seru) di luar sebuah pintu pagar hospital.

“Kenderaan tentera pendudukan Israel menggunakan peranti robotik meletakkan kotak berisi bahan letupan di pintu pagar hospital,” kata Abu Safiya dalam catatan Facebook.

Beliau berkata, tentera Israel baru-baru ini meletupkan bangunan kediaman dekat hospital menggunakan alat letupan sama.

Awal Isnin, Abu Safiya memberi amaran kemudahan perubatan itu berdepan pengeboman Israel setiap hari, yang menurutnya sebahagian “kempen pembunuhan dan pemindahan paksa disengajakan”.

Israel meneruskan operasi darat berskala besar di utara Gaza sejak 5 Okt lalu atas dakwaan untuk menghalang kumpulan penentang Palestin Hamas daripada berhimpun semula.

Rakyat Palestin bagaimanapun menuduh Israel berusaha menduduki kawasan itu dan memindahkan penduduknya secara paksa.

Sejak itu, tiada bantuan kemanusiaan mencukupi, termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan api dibenarkan memasuki kawasan itu menyebabkan penduduk masih di ambang kebuluran.

Serangan Israel di utara Gaza episod terbaharu dalam perang kejam Israel di Semenanjung Gaza yang membunuh lebih 45,300 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak 7 Okt 2023.

Bulan lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanan, Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga menghadapi kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas serangannya di Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.