
Pegawai penguat kuasa menembak mati pemandu tersebut, yang sebelum itu dikejar polis sejauh hampir 32km sebelum memandu trak pikapnya ‘beberapa ratus meter’ melalui pintu masuk pusat beli-belah itu dan ‘terus merempuh orang ramai’, menurut Sarjan Bryan Washko pada sidang media.
Mangsa yang cedera berusia antara enam hingga 75 tahun, kata Washko.
Katanya, seorang anggota Pasukan Polis Lebuh Raya Texas cuba menghentikan pemandu itu, yang identitinya belum dikenal pasti, sekitar 5 petang waktu tempatan (2300 GMT) kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.
Ketika dikejar, pemandu itu keluar dari lebuh raya dan memasuki kawasan letak kenderaan Killeen Mall kemudian merempuh pintu kaca utama sebuah kedai JCPenney.
“Suspek memandu melalui pintu dan terus bergerak dalam kedai JCPenney, merempuh beberapa orang,” katanya.
“Pusat beli-belah agak sibuk ketika ini (akhir tahun),” tambahnya.
Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada lelaki itu memasuki pusat beli-belah itu secara sengaja atau ‘kerana terdesak disebabkan dikejar’, kata Washko.
Bandar Killeen, yang mempunyai hampir 160,000 penduduk, terletak kira-kira 240 km selatan Dallas.