Vanuatu dilanda gempa kuat, beberapa kedutaan musnah

Vanuatu dilanda gempa kuat, beberapa kedutaan musnah

Menteri Luar New Zealand Winston Peters berkata kedutaan negaranya di lokasi sama dengan Kedutaan AS, Perancis dan UK mengalami kerosakan ketara.

Vanuatu
Gempa kuat bermagnitud 7.3 menyebabkan bangunan yang menempatkan Kedutaan AS di Port Vila mengalami kerosakan teruk. (Gambar X/Weather Monitor)
WELLINGTON:
Beberapa kedutaan di negara kepulauan Pasifik, Vanuatu musnah akibat gempa bumi bermagnitud 7.3 pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa itu berlaku kira-kira 30km ke barat ibu negara Vanuatu, Port Vila pada kedalaman sekitar 57km.

Menteri Luar New Zealand, Winston Peters, berkata kedutaan negaranya di lokasi sama dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Perancis dan United Kingdom turut mengalami kerosakan ketara.

Kedutaan AS memaklumkan ia “mengalami kerosakan besar” dan akan ditutup sehingga dimaklumkan kelak.

“New Zealand amat prihatin dengan gempa bumi kuat di Vanuatu dan kerosakan yang berlaku,” tulis Peters di platform X.

“Doa kami bersama rakyat dan pihak berkuasa Vanuatu. Kami sedia membantu Vanuatu dan akan bertindak balas terhadap sebarang permintaan bantuan.”

Kenyataan daripada misi AS di Papua New Guinea turut menyatakan solidariti sama.

“Doa kami kepada semua yang terjejas akibat gempa bumi ini dan kerajaan AS akan bekerjasama rapat dengan rakan kami di Vanuatu,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.