Pengasas Mango Isak Andic maut jatuh tebing di Sepanyol

Pengasas Mango Isak Andic maut jatuh tebing di Sepanyol

Andic memiliki nilai kekayaan bersih sekitar USD4.5 bilion jatuh sejauh 150m di gua Salitre de Collbato berhampiran Barcelona.

Isak Andic, 71, meninggal dunia selepas tergelincir ketika berjalan bersama isteri dan anak lelakinya. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Isak Andic, pengasas rangkaian fesyen global Mango, meninggal dunia selepas terjatuh dari tebing di timur laut Sepanyol, menurut pengumuman syarikat itu, lapor Xinhua.

Jutawan berusia 71 tahun itu dilaporkan tergelincir dan jatuh sejauh 150m semasa berjalan bersama isteri dan anak lelakinya di gua Salitre de Collbato, berhampiran Barcelona, sekitar 1 tengah hari waktu tempatan.

“Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengumumkan pemergian mengejut Isak Andic, pengerusi bukan eksekutif dan pengasas Mango yang tidak dijangka, akibat kemalangan yang berlaku pada Sabtu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mango Toni Ruiz dalam kenyataan.

Ruiz memuji dedikasi sepanjang hayat Andic terhadap Mango, sambil menyatakan pemergiannya meninggalkan “kehilangan yang sangat besar.”

Dilahirkan di Istanbul, Andic berhijrah ke Sepanyol dari Turki pada usia 13 tahun. Beliau memulakan kerjaya dengan menjual baju-T kepada rakan sekelas sebelum membuka kedai Mango pertama di Barcelona pada 1984.

Menurut Forbes, Andic memiliki nilai kekayaan bersih dianggarkan berjumlah USD4.5 bilion pada saat kematiannya.

Mango, yang beroperasi di lebih 120 negara, mencatatkan perolehan sebanyak USD3.26 bilion pada 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.