
Yoon akan digantung daripada tugasnya sebaik saja resolusi pendakwaan disampaikan ke pejabatnya, sementara Perdana Menteri, Han Duck-soo akan bertindak sebagai presiden, lapor agensi berita Yonhap.
Usul pendakwaan terhadap Yoon diluluskan dengan 204 undi menyokong, 85 menentang, tiga berkecuali dan lapan undian tidak sah, dengan semua 300 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam undian.
Parti Kuasa Rakyat (PPP) pimpinan Yoon memutuskan untuk mengambil bahagian dalam undian, tetapi menentang pendakwaan.
Keputusan undian menunjukkan 12 Ahli Parlimen PPP menyimpang daripada pendirian parti dengan mengundi menyokong pendakwaan.
Untuk meluluskan usul itu, majoriti dua pertiga diperlukan, dengan blok pembangkang merangkumi 192 daripada 300 Ahli Parlimen.
Cubaan pertama untuk mendakwa Yoon pada Sabtu lalu gagal selepas hampir semua Ahli Parlimen PPP memboikot undian itu.
Usul pemecatan kedua terhadap Yoon diperkenalkan Khamis lalu oleh pembangkang utama, Parti Demokratik dan lima parti pembangkang kecil lain, yang mendakwa Yoon melanggar Perlembagaan dan undang-undang lain apabila mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Dis lalu.
Dekri itu dibatalkan enam jam selepas Parlimen mengundi untuk mengetepikannya.
Usul kedua itu dipinda daripada usul pertama dengan menghapuskan beberapa tuduhan terhadap Yoon, tetapi menambah beberapa lagi tuduhan, termasuk dakwaan Yoon mengarahkan tentera dan polis menahan Ahli Parlimen semasa undang-undang tentera berkuat kuasa.
Usul itu akan dihantar ke Mahkamah Perlembagaan yang akan memutuskan sama ada untuk mengembalikan Yoon kepada jawatannya atau memecatnya, menurut Yonhap.
Sekiranya pendakwaan itu diterima, Yoon akan menjadi presiden kedua dipecat selepas bekas presiden Park Geun-hye pada 2017.