Nahas bas mini, 26 maut di Cote d’Ivoire

Nahas bas mini, 26 maut di Cote d’Ivoire

Satu daripada tayar bas meletup membawa kepada pertembungan dua kenderaan.

Nahas bas mini
Seramai 26 maut, manakala 28 lagi cedera dalam nahas maut di laluan Issia-Daloa, Barat Cote d’Ivoire. (Gambar Facebook)
BIDJAN:
Sekurang-kurangnya 26 maut, manakala 28 lagi cedera dalam nahas di laluan Issia-Daloa, Barat Cote d’Ivoire pada petang Jumaat, menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan negara itu.

Kenyataan itu memaklumkan tragedi berlaku berhampiran kampung Brokoua apabila satu tayar bas mini meletup dan menyebabkan kemalangan antara dua kenderaan, lapor Xinhua.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Besar Issia, kira-kira 357km dari Abidjan, hab ekonomi Cote d’Ivoire.

Pasukan kementerian telah dihantar ke lokasi kejadian untuk mengenal pasti punca kemalangan,” menurut kenyataan itu.

Secara purata, antara 1,000 hingga 1,500 maut setiap tahun dalam nahas di Cote d’Ivoire, yang mempunyai sekitar 1.5 juta kenderaan di jalan raya, menurut data Kementerian Pengangkutan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Cote d’Ivoire memperkenalkan beberapa langkah mengurangkan jumlah kemalangan maut, termasuk pelaksanaan sistem mata pada lesen memandu, larangan import kenderaan berusia lebih lima tahun, penyelenggaraan jalan raya, dan pemasangan kamera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.