Presiden Peru disiasat abai tugas untuk bedah hidung

Presiden Peru disiasat abai tugas untuk bedah hidung

Dina Boluarte didakwa meninggalkan jawatan hampir dua minggu tahun lalu.

Presiden Peru Dina Boluarte dikatakan gagal maklum tidak dapat menjalankan tugas buat sementara waktu pada 29 Jun hingga 9 Julai 2023. (Gambar AP)
BUENOS AIRES:
Pendakwa raya Peru berkata pihaknya telah memulakan siasatan awal terhadap Presiden Dina Boluarte berhubung dakwaan beliau meninggalkan jawatannya selama hampir dua minggu pada 2023 untuk menjalani prosedur pembedahan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kementerian Awam negara dalam kenyataan disiarkan di X, memaklumkan Boluarte sedang disiasat “atas dakwaan kesalahan pengabaian tugas rasmi, dan/atau sebagai alternatif atas dakwaan kesalahan meninggalkan jawatan”.

Pendakwa raya turut menjelaskan bahawa siasatan ini berkaitan dengan kegagalan presiden memaklumkan beliau tidak dapat menjalankan tugasnya buat sementara waktu, pada 2023 dari 29 Jun hingga 9 Julai, akibat prosedur pembedahan.

Pada Selasa, Perdana Menteri Alberto Otárola mengakui presiden tidak memaklumkan kepada Kongres melalui jawatankuasa Parlimen, sambil mengesahkan beliau telah menjalani pembedahan hidung.

Kerajaan sebelum ini menafikan bahawa Boluarte mengambil cuti, menurut media tempatan.

“Namun, tidak pernah sekali pun beliau mengabaikan tugasnya sebagai presiden dan saya maklum mengenai perkara ini kerana saya adalah presiden Majlis Menteri pada waktu itu,” kata Otárola kepada jawatankuasa berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.