Hina penjual air: Utusan khas presiden Indonesia letak jawatan

Hina penjual air: Utusan khas presiden Indonesia letak jawatan

'Kita berhasil menyelamatkan adab di negeri ini,' tulis petisyen menyeru pemecatan Gus Miftah.

Miftah Maulana Habiburrahman, yang dilantik sebagai utusan bagi bidang kerukunan beragama, letak jawatan selepas video beliau hina seorang penjual air tular di media sosial. (Gambar Reuters)
JAKARTA:
Miftah Maulana Habiburrahman, utusan khas presiden Indonesia, meletakkan jawatan pada Jumaat selepas video menunjukkan beliau menghina seorang penjual teh ais bulan lepas tular di media sosial.

Beliau yang dikenali sebagai Gus Miftah berkata keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

“Ini adalah keputusan yang saya buat dengan penuh kesedaran, selepas banyak bermuhasabah. Saya telah memutuskan untuk meletakkan jawatan,” katanya di Yogyakarta yang disiarkan televisyen tempatan.

Penceramah terkenal itu dilantik pada 22 Okt sebagai utusan khas presiden bagi bidang kerukunan beragama dan pembinaan kemudahan keagamaan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden Prabowo Subianto dan memohon maaf kerana tidak memenuhi harapan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Sementara itu, Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Hasan Nasbi, dilaporkan berkata: “Kita menghormati keputusan beliau”.

Dalam video yang tular, Gus Miftah mengeluarkan kata-kata tidak sopan terhadap penjual itu di hadapan peserta acara di Jawa Tengah, pada 20 Nov, sekali gus mencetuskan kecaman meluas di media sosial.

Petisyen menyeru pemecatan beliau di Change.org mendapat 318,479 tandatangan.

“Terima kasih kepada yang ikut serta menyebar dan menandatangan petisyen. Kita berhasil menyelamatkan adab di negeri ini,” tulis petisyen itu.

Pada Rabu lepas Gus Miftah menziarahi rumah penjual itu di Magelang untuk memohon maaf dan mengakui ditegur oleh Setiausaha Kabinet, Mejar Teddy Indra Wijaya, agar berhati-hati ketika bercakap di khalayak ramai.

Sejumlah individu tampil menghulurkan bantuan kepada penjual teh ais termasuk memberikan wang tunai, tajaan kos umrah dan pendidikan untuk dua orang anaknya yang masih bersekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.