Bekas PM Pakistan didakwa dalam kes serangan ibu pejabat tentera

Bekas PM Pakistan didakwa dalam kes serangan ibu pejabat tentera

Imran Khan dan kira-kira 100 pekerja serta pemimpin parti PTI pimpinannya mengaku tidak bersalah.

imran khan_150724_ap
Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan, yang digulingkan melalui usul tidak percaya pada April 2022, kini berdepan kira-kira 130 kes di mahkamah. (Gambar AP)

ISLAMABAD/KARACHI: Mahkamah Pakistan pada Khamis mendakwa bekas perdana menteri Imran Khan yang sedang dipenjara dalam kes yang berkaitan dengan serangan terhadap ibu pejabat tentera tahun lepas, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik rekod mahkamah.

Khan dan sekitar 100 pekerja serta pemimpin parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang dipimpinnya mengaku tidak bersalah.

Menurut pihak pendakwaan, ratusan penyokong PTI menyerbu ibu pejabat tentera, yang dikenali sebagai GHQ, di bandar garison di timur laut Rawalpindi, pada Mei tahun lepas berikutan penahanan singkatnya dalam kes rasuah.

PTI menafikan tuduhan itu.

Khan, 72, kini dipenjarakan di Rawalpindi atas pelbagai tuduhan termasuk rasuah dan keganasan.

Sementara itu, pihak berkuasa Pakistan pada Khamis memaklumkan, polis mengemukakan 14 kes baharu terhadap Khan berikutan perhimpunan yang dianjurkan oleh partinya di Islamabad pada November.

Semasa pendengaran bagi petisyen yang difailkan oleh adik perempuan Khan, Noreen Niazi, di Mahkamah Tinggi Islamabad untuk mendapatkan butiran terkini mengenai kes yang difailkan terhadap abangnya, polis Islamabad memberitahu mahkamah, sejumlah 76 kes telah didaftarkan di ibu negara.

Empat belas kes baharu difailkan berikutan perhimpunan pada 24 Nov yang diadakan di Islamabad, tambah polis.

Khan kini berdepan kira-kira 130 kes selepas polis di wilayah Punjab memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Lahore bahawa 54 kes telah didaftarkan terhadap bekas perdana menteri di wilayah itu.

Sementara itu, pembantu Khan dan ketua pembangkang parlimen Omer Ayub, juga ditangkap di Rawalpindi.

Bekas bintang kriket itu mengadakan perhimpunan di Islamabad untuk menuntut pembebasan tahanan politik, siasatan mengenai dakwaan penipuan pilihan raya serta pembatalan perubahan dalam badan kehakiman.

Ribuan penyokong Khan dan pekerja PTI tiba di Islamabad tetapi mereka diusir oleh kerajaan melalui operasi keselamatan.

Pengerusi sementara PTI Gohar Khan mendakwa sekurang-kurangnya ’12 penunjuk perasaan terkorban dan 12 yang lain cedera’ semasa operasi itu, yang disangkal kerajaan.

Sekurang-kurangnya empat anggota keselamatan, termasuk tiga renjer separa tentera dan seorang anggota polis terkorban apabila dilanggar oleh sebuah kenderaan. Kerajaan menyalahkan PTI atas kematian itu manakala PTI menafikan pekerjanya terlibat dalam kemalangan tersebut.

Susulan itu, polis Islamabad mendaftarkan beberapa kes terhadap Khan, isterinya Bushra Bibi, Ketua Menteri Khyber Pakhtunkhwa Ali Amin Gandapur dan pemimpin kanan PTI yang lain.

Ratusan penyokong PTI ditangkap semasa operasi itu.

Selain itu, sebuah mahkamah khas juga mengeluarkan waran tangkap terhadap Bushra Bibi dalam kes baharu kerana ‘gagal hadir di mahkamah dalam 10 perbicaraan yang lalu’.

Khan digulingkan melalui usul tidak percaya yang berjaya pada April 2022, lebih setahun sebelum tamat tempoh lima tahun perkhidmatannya mengikut perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.