Korea Selatan mansuh undang-undang tentera atas desakan Dewan Negara

Korea Selatan mansuh undang-undang tentera atas desakan Dewan Negara

Kabinet meluluskan usul pemansuhan pada 4.30 pagi, kira-kira enam jam selepas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera.

South Korea
Seorang kakitangan Dewan Negara menyembur alat pemadam api untuk menghalang tentera memasuki dewan utama dalam Dewan Negara di Seoul. (Gambar AP)
SEOUL:
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengumumkan pemansuhan undang-undang tentera awal pagi Rabu, selepas Dewan Negara meluluskan usul bagi menuntut penamatannya, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kabinet meluluskan usul terbabit pada 4.30 pagi (waktu tempatan), kira-kira enam jam selepas Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera itu atas alasan pihak pembangkang “melumpuhkan” kerajaan melalui aktiviti antinegara.

Keputusan itu menimbulkan kebimbangan di dalam dan luar negara, lapor Yonhap.

Ketua turus bersama mengesahkan pasukan dikerah melaksanakan undang-undang tentera kembali ke pangkalan masing-masing, sekali gus memulihkan keadaan.

“Pada 11 malam tadi, saya mengisytiharkan undang-undang tentera darurat dengan niat menyelamatkan negara daripada ancaman pihak antinegara yang cuba melumpuhkan fungsi penting negara serta ketertiban perlembagaan demokrasi bebas.

“Namun, memandangkan Dewan Negara menuntut pemansuhannya, saya menarik balik pasukan yang dikerahkan untuk menguatkuasakan hal ehwal undang-undang tentera,” katanya.

Yoon turut menyeru Dewan Negara menghentikan tindakan disifatkannya “keterlaluan” yang melumpuhkan fungsi kerajaan, termasuk percubaan memecat pegawai kerajaan.

Selepas pemansuhan undang-undang tentera itu, Ahli Parlimen pembangkang mengkritik tindakan Yoon, malah ada yang mengancam mendesak pemecatannya.

Pengisytiharan itu turut mencetuskan reaksi antarabangsa, dengan pegawai Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan dan menggesa pertikaian politik di Korea Selatan diselesaikan secara aman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.