Banjir, tanah runtuh ragut 31 nyawa di Sumatera Utara

Banjir, tanah runtuh ragut 31 nyawa di Sumatera Utara

Risiko bencana musim tengkujuh dihadapi Indonesia dijangka kekal tinggi sehingga sekurang-kurangnya awal Disember, menurut agensi bencana.

Seorang lelaki mengharungi air banjir berikutan hujan lebat di Medan, Sumatera Utara, Indonesia, yang sedang menghadapi musim tengkujuh tahunan. (Gambar AP)
JAKARTA:
Hujan berterusan selama seminggu dilapor menyebabkan beberapa siri banjir dan tanah runtuh di seluruh wilayah Sumatera Utara Indonesia, mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.

Susulan itu, Ketua Agensi Pengurusan Bencana Sumatera Utara Tuahta Ramajaya Saragih berkata, pihaknya telah mengemukakan permintaan untuk mengisytiharkan status kecemasan bencana kepada gabenor wilayah, lapor agensi berita Jerman dpa.

Status yang dicadangkan, yang dilanjutkan hingga Disember, akan menyegerakan pengagihan bantuan dan menggerakkan sumber negara untuk membantu ribuan penduduk yang dipindahkan.

“Hujan berintensiti tinggi terus melanda rantau ini, dan kami menjangkakan risiko bencana selanjutnya akan kekal tinggi sehingga sekurang-kurangnya awal Disember,” kata Saragih.

Kemusnahan itu merentasi beberapa daerah, dari Medan ke kawasan luar bandar seperti Sibolangit dan Sayur Matinggi, menyebabkan komuniti terputus hubungan akibat tanah runtuh yang telah menimbus jalan raya, kata agensi bencana itu.

Pasukan penyelamat sedang mengharungi keadaan yang berbahaya untuk membersihkan laluan akses dan mencari mangsa yang hilang, sementara tempat perlindungan sementara terpaksa menampung jumlah penduduk yang dipindahkan, tambah agensi itu.

Indonesia sedang menghadapi musim tengkujuh tahunan yang sering membawa hujan lebat dan banjir teruk, terutamanya di kawasan rendah dan padat penduduk seperti Sumatera Utara.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran bahawa penebangan hutan dan pembandaran yang tidak dirancang dengan baik memburukkan lagi bencana itu, mengurangkan keupayaan landskap menyerap lebihan air dan meningkatkan kecenderungan kepada tanah runtuh.

Minggu lepas, hujan lebat menyebabkan air sungai melimpah, menghanyutkan rumah, memusnahkan tanah ladang dan infrastruktur di Sumatera Utara, menurut agensi bencana itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.