
Jumlah kematian itu dijangka meningkat kelak kerana perubahan iklim menyebabkan kebakaran hutan lebih kerap, menurut kajian dalam jurnal The Lancet.
Pasukan penyelidik antarabangsa melihat data sedia ada berhubung “kebakaran landskap” yang merangkumi kebakaran hutan semula jadi dan terancang seperti pembakaran terkawal di tanah pertanian.
Penyelidik berkata, kira-kira 450,000 kematian setahun akibat penyakit jantung dikaitkan dengan pencemaran udara berkaitan kebakaran antara 2000 hingga 2019.
Tambahan 220,000 kematian akibat penyakit pernafasan dikaitkan dengan asap dan zarah dalam udara ketika kebakaran.
Menurut kajian itu, daripada semua punca di seluruh dunia, 1.53 juta kematian tahunan dikaitkan dengan pencemaran udara akibat kebakaran landskap.
Lebih 90% kematian itu berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana, dengan hampir 40% di sub-Sahara Afrika saja.
Negara yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi ialah China, Congo, India, Indonesia dan Nigeria.
Semakin banyak aktiviti pembakaran ladang secara haram di utara India sebahagiannya dipersalahkan atas asap berbahaya yang menyelubungi New Delhi baru-baru ini.
Pengarang kajian Lancet menggesa “tindakan segera” menangani jumlah kematian besar akibat kebakaran landskap.
Mereka berkata, jurang antara negara kaya dan miskin menonjolkan “ketidakadilan iklim”, di mana negara menyumbang paling sedikit kepada pemanasan global paling menderita.
Antara cara mengelakkan asap kebakaran – menjauhi kawasan kebakaran, menggunakan pembersih udara dan topeng pelitup muka atau berada dalam bangunan – bukan pilihan untuk rakyat negara lebih miskin, kata penyelidik.
Justeru, mereka menggesa lebih banyak sokongan kewangan dan teknologi buat rakyat di negara paling terjejas.
Kajian itu dikeluarkan seminggu selepas perbincangan iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di mana perwakilan bersetuju meningkatkan pembiayaan iklim yang dikritik negara membangun sebagai tidak mencukupi.
Ia berlaku selepas Ecuador mengisytiharkan darurat susulan kebakaran hutan yang memusnahkan lebih 10,000 hektar kawasan di selatan negara itu.
Dunia turut dilanda taufan, kemarau, banjir dan cuaca ekstrem lain ketika pelbagai pihak menjangkakan 2024 menjadi tahun paling panas dalam sejarah.