Trump umum tarif import bagi China, Kanada, Mexico

Trump umum tarif import bagi China, Kanada, Mexico

Tarif import 25% akan dikenakan ke atas semua produk dari Mexico dan Kanada, manakala tarif tambahan 10% bagi barangan dari China.

donald trump
Donald Trump berkata perintah eksekutif pelaksanaan tarif itu akan ditandatanganinya pada hari pertama beliau kembali ke Rumah Putih 20 Jan depan. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif import tinggi akan dikenakan ke atas semua barangan dari Mexico dan Kanada, serta tarif tambahan bagi barangan dari China sebaik saja beliau kembali ke Rumah Putih.

Menurutnya, perintah eksekutif akan ditandatanganinya pada hari pertama beliau memegang jawatan 20 Jan depan, lapor Agensi Berita Jerman, dpa.

“Saya akan menandatangani semua dokumen diperlukan untuk mengenakan tarif 25% ke atas semua produk ke AS dari Mexico dan Kanada, serta sempadan terbuka mereka yang tidak masuk akal.

“Kami akan mengenakan tarif tambahan 10% ke atas China, melebihi tarif tambahan sedia ada atas semua produk mereka yang masuk ke AS,” katanya melalui platform media sosial Truth Social.

Sepanjang penggal pertamanya sebagai presiden, Trump mengenakan tarif punitif tinggi ke atas banyak barangan dari China.

Dalam kempen pilihan raya 2024, beliau mengancam lebih banyak tarif akan dikenakan ke atas produk China yang dijangka memberi kesan besar terhadap perdagangan dunia.

Sementara itu, dpa Washington melaporkan China memberi tindak balas terhadap pengumuman Trump dengan menyatakan tiada pihak akan menang dalam perang dagangan.

“Tiada pemenang dalam perang tarif atau perang perdagangan. Dunia juga tidak akan mendapat manfaat daripadanya,” kata jurucakap Kedutaan China, Liu Pengyu di X.

Liu berkata, China sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menegakkan multilateralisme, membina ekonomi dunia terbuka, menyokong pembangunan mampan, mencapai kemakmuran bersama dan membina komuniti dengan masa depan bersama demi kemanusiaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kanada turut menegaskan kepentingannya kepada AS sejurus pengumuman Trump akan mengenakan tarif import tinggi bagi semua produk dari negara jiran itu.

“Kanada dan AS mempunyai hubungan paling kukuh dan rapat, terutamanya dalam hal perdagangan serta keselamatan sempadan.

“Kanada memberi keutamaan tertinggi terhadap keselamatan sempadan dan integriti sempadan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Chrystia Freeland dan Menteri Keselamatan Awam Kanada, Dominic LeBlanc dalam kenyataan bersama.

Dua menteri itu menekankan hubungan “seimbang dan saling menguntungkan” antara kedua-dua negara jiran dengan menegaskan Kanada memainkan peranan penting dalam bekalan tenaga domestik AS dan 60% import minyak mentah AS berasal dari Kanada tahun lalu.

“Kami tentu akan terus membincangkan isu ini dengan pentadbiran akan datang,” menurut kenyataan itu tanpa menyebut secara khusus pengumuman Trump beberapa jam terdahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.