
“Suasana kini positif dan perbincangan gencatan senjata mencapai tahap seterusnya. Hanya tinggal beberapa jam sebelum perjanjian dimuktamadkan dan diumumkan, sekiranya kemajuan berterusan seperti diharapkan,” kata Ahli Parlimen Lubnan, Qassem Hashem pada Isnin.
Perkembangan ini berlaku serentak dengan laporan Kabinet keselamatan Israel akan bersidang pada Selasa untuk meluluskan perjanjian gencatan senjata dengan Hizbullah.
Penyiar persendirian Lubnan, Al Jadeed melaporkan pada lewat Isnin, Lubnan dimaklumkan secara rasmi mengenai perjanjian itu, tetapi memilih untuk berdiam diri demi memastikan kejayaannya.
“Perincian kecil” masih dalam perbincangan, namun ia dijangka tidak menjejaskan syarat utama perjanjian.
Hashem, Ahli Parlimen blok Pembangunan dan Pembebasan yang diketuai Speaker Parlimen, Nabih Berri, menegaskan Lubnan hanya akan mengumumkan gencatan senjata selepas pengumuman rasmi dibuat Amerika Syarikat.
“Jika dilakukan dengan ikhlas, proses ini akan berjalan secara semula jadi. Dalam tempoh 36 jam, kami menjangka perjanjian dimuktamadkan.”
Hashem menyuarakan keyakinan dengan berhati-hati dan mengakui cabaran ditimbulkan Israel digambarkannya “musuh tidak terkawal dan melulu”.
Namun, beliau menekankan sentimen antarabangsa semasa menyokong perjanjian ini, sekali gus mewujudkan keadaan kondusif untuk gencatan senjata.
Hashem turut mengesahkan komitmen Lubnan untuk mematuhi syarat dinyatakan berkaitan cadangan disokong AS dan melaksanakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa yang menjadi panduan rundingan itu.
Resolusi 1701 yang diterima pakai pada 2006 menyeru permusuhan di selatan Lubnan dihentikan susulan konflik 33 hari antara Hizbullah dan tentera Israel.