Negara EU perlu patuhi waran tangkap ICC terhadap Netanyahu

Negara EU perlu patuhi waran tangkap ICC terhadap Netanyahu

Ketua Dasar Luar EU Josep Borrell kata dwistandard akan membawa kepada kritikan teruk terhadap EU.

Ketua Dasar Luar EU Josep Borrell kata semua negara EU adalah pihak kepada Konvensyen Rom yang mengasaskan ICC. (Gambar Wikipedia)
ATHENS:
Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) perlu memenuhi kewajipan terhadap pelaksanaan undang-undang antarabangsa dengan mematuhi waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, kata Ketua Dasar Luar EU Josep Borrell, lapor Agensi Anadolu (AA).

Sambil mengingatkan bahawa semua negara EU adalah pihak kepada Konvensyen Rom yang mengasaskan ICC, Borrell berkata: “Anda tidak boleh memilih sesuka hati. Anda tidak boleh menyokong apabila mahkamah bertindak terhadap Putin dan berdiam diri apabila mahkamah bertindak terhadap Netanyahu.”

Berucap kepada media di luar sidang pertemuan menteri luar G7 di Itali, beliau berkata dwistandard seperti ini akan membawa kepada kritikan teruk terhadap EU.

“Saya meminta negara-negara anggota EU untuk memenuhi kewajipan mereka dalam undang-undang antarabangsa. Sama ada suka atau tidak, ICC adalah mahkamah yang mempunyai kuasa seperti mana-mana mahkamah negara,” katanya.

Beliau memberi amaran: “Jika Eropah tidak menyokong ICC, tiada harapan untuk keadilan.”

Mengenai Lubnan, beliau memberi amaran negara itu akan runtuh jika cadangan gencatan senjata semasa oleh Amerika Syarikat dan Perancis tidak dilaksanakan.

Serangan Israel yang berterusan bukan sahaja menyebabkan pemindahan dan pembunuhan ramai rakyat Lubnan, tetapi juga merosakkan institusi negara Lubnan termasuk tentera, kata Borrell.

Mengimbau bantahan terhadap cadangan itu oleh menteri-menteri ekstremis dalam kerajaan Israel, beliau menyeru Netanyahu untuk bekerja ke arah meluluskan dan melaksanakan perjanjian gencatan senjata itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.