Kebakaran di pusat ujian roket Jepun, tiada laporan kecederaan

Kebakaran di pusat ujian roket Jepun, tiada laporan kecederaan

Kebakaran itu susulan insiden lain pada Julai 2023 apabila enjin sama meletup semasa ujian di Pusat Ujian Noshiro di timur laut Jepun.

Japan rocket
Kepulan asap kelihatan selepas letupan enjin roket semasa ujian di Pusat Angkasa Tanegashima, wilayah Kagoshima. (Gambar Reuters)
TOKYO:
Sebuah enjin sedang dibangunkan untuk digunakan roket kecil Epsilon S terbakar semasa ujian pembakaran di sebuah kemudahan di barat daya Jepun, menurut Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (Jaxa).

Kejadian di Pusat Angkasa Tanegashima, wilayah Kagoshima itu berlaku sejurus ujian darat enjin peringkat kedua bermula 8.30 pagi tadi.

Menurut Jaxa, tiada kecederaan dilaporkan dan ia sedang menyiasat punca kegagalan itu.

Api mula kelihatan sebelum bunyi letupan kedengaran kira-kira seminit kemudian, disusuli asap putih menyelubungi kawasan terbabit.

Kebakaran itu susulan insiden lain pada Julai 2023 apabila enjin sama meletup semasa ujian di Pusat Ujian Noshiro di timur laut Jepun, lapor Kyodo News.

Dalam ujian gagal Julai tahun lepas, sekeping logam pada bahagian pencucuhan cair dan merosakkan penebat haba menutupi enjin, menyebabkan bahan api terbakar dan berlaku letupan.

Jaxa menambah penebat haba pada bahagian pencucuhan bagi menangani isu berkenaan sebelum ujian terkini dijalankan.

Jaxa sedang membangunkan Epsilon S sebagai pengganti kepada siri Epsilon sedia ada untuk meningkatkan daya saing Jepun dalam pasaran pelancaran satelit semakin berkembang, namun kegagalan berterusan itu berpotensi melambatkan kemajuan projek berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.