13 maut tanah runtuh, banjir kilat di Sumatera Utara

13 maut tanah runtuh, banjir kilat di Sumatera Utara

Tanah runtuh dan banjir kilat yang melanda daerah Deli Serdang serta Karo pada malam Sabtu turut menyebabkan 18 penduduk cedera.

mayat
Enam terbunuh di Deli Serdang selepas arus deras menghanyutkan empat rumah serta sebuah bangunan keagamaan. (Gambar Pixabay)
JAKARTA:
Tanah runtuh dan banjir kilat yang melanda dua daerah di Sumatera Utara, Indonesia pada malam Sabtu meragut 13 nyawa dengan 18 lagi cedera, kata pegawai agensi pengurusan dan mitigasi bencana wilayah itu semalam.

Menurut Sri Wahyuni Pancasilawati, ketua unit kecemasan, peralatan dan logistik agensi itu, tanah runtuh serta banjir kilat melanda daerah Deli Serdang dan Karo pada malam Sabtu.

Di Deli Serdang, enam terbunuh dan sembilan lagi cedera selepas arus deras menghanyutkan empat rumah serta sebuah bangunan keagamaan.

Di Karo pula, bencana sama meragut tujuh nyawa dan sembilan yang lain cedera. Mangsa cedera dibawa ke hospital serta klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan, katanya kepada Xinhua.

Pada awal pagi Sabtu, tanah runtuh dan banjir kilat turut melanda daerah Padang Lawas dan Tapanuli Selatan di wilayah itu menyebabkan enam maut dan tujuh cedera.

Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia mengeluarkan amaran cuaca ekstrem dengan intensiti hujan melebihi normal di kawasan itu.

Usaha sedang dijalankan untuk membantu komuniti terjejas dan mengurangkan risiko lanjut sementara pihak berkuasa terus memantau keadaan dengan teliti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.