
Resolusi itu turut menggesa pencegahan kebuluran dalam kalangan penduduk Palestin, lapor Agensi Anadolu.
Draf resolusi yang dikemukakan sembilan anggota tidak tetap UNSC itu – Algeria, Ecuador, Guyana, Malta, Mozambique, Korea Selatan, Sierra Leone, Slovenia dan Switzerland – menerima 14 undi.
Resolusi itu menyeru “gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal yang perlu dihormati semua pihak” sambil mengulangi “desakan untuk pembebasan segera dan tanpa syarat semua tahanan” serta menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawabnya mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Ia turut menekankan krisis kemanusiaan semakin buruk di Gaza dan meminta “akses segera kepada perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang penting untuk kelangsungan hidup penduduk awam di Semenanjung Gaza”.
Draf Resolusi itu menolak “sebarang usaha untuk menyebabkan penduduk Palestin kebuluran” serta menyeru “penyediaan bantuan kemanusiaan sepenuhnya, dengan cepat, selamat dan tanpa halangan, secara besar-besaran ke Gaza dan seluruh kawasan itu”.
Selain itu, ia menggesa semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya berkaitan perlindungan orang awam dan infrastruktur awam, serta menuntut pelaksanaan Resolusi 2735 UNSC merangkumi peruntukan mengenai tawanan, tahanan Palestin dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Resolusi itu juga meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres melaporkan pelaksanaannya dan menjalankan penilaian keperluan menyeluruh untuk Gaza dalam tempoh 90 hari.
Bagaimanapun, veto AS menghalang pelaksanaan langkah berkenaan.
Menjelang veto yang dijangka dilakukan AS, Anadolu melaporkan Carolyn Rodrigues-Birkett, wakil Guyana ke PBB, berkata “resolusi yang dibentangkan di hadapan Majlis adalah hasil rundingan beberapa minggu antara semua anggota Majlis”.
“Ia didorong keprihatinan mendalam Majlis terhadap situasi kemanusiaan dahsyat di Gaza, termasuk apa yang berlaku di utara Gaza dan keperluan tindak balas segera terhadap situasi itu.”
Timbalan Wakil AS ke PBB, Robert Wood selepas pengundian berkata, “Kami telah menjelaskan sepanjang rundingan tidak boleh menyokong gencatan senjata tanpa syarat yang gagal memastikan pembebasan tawanan” sambil menambah “menghentikan perang secara berkekalan mesti disertai pembebasan tawanan”.
“Secara ringkasnya, resolusi ini akan menghantar mesej berbahaya kepada Hamas. Tiada keperluan untuk kembali ke meja rundingan,” katanya sambil mendakwa kumpulan pejuang Palestin itu menolak perjanjian gencatan senjata.
AS telah tiga kali menggunakan kuasa vetonya terhadap draf resolusi UNSC menyeru gencatan senjata segera di Gaza pada Oktober 2023, Disember 2023 dan Februari, selain berkecuali dalam beberapa undian resolusi lain.