Bangladesh mohon ekstradisi bekas PM Sheikh Hasina dari India

Bangladesh mohon ekstradisi bekas PM Sheikh Hasina dari India

Tribunal Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas PM itu dan 45 individu lain atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan ketika protes pada Julai dan Ogos lalu.

Sheikh Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos lalu susulan protes besar-besaran pada Julai dan Ogos. (Gambar Wikipedia)
DHAKA:
Bangladesh akan meminta India mengekstradisi bekas perdana menteri Sheikh Hasina yang hidup dalam buangan sejak Ogos lalu, selepas melarikan diri daripada pemberontakan dipimpin pelajar, kata ketua kerajaan sementara negara itu pada Ahad.

Menurut Agensi Anadolu, Muhammad Yunus membuat kenyataan itu dalam ucapan televisyen sempena 100 hari beliau mentadbir kerajaan dengan menyatakan pentadbirannya komited memastikan individu bersalah kerana menghalang protes menggulingkan Hasina akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kami akan memastikan keadilan untuk setiap pembunuhan (melalui perbicaraan). Inisiatif yang kami ambil untuk memastikan keadilan bagi pembunuhan pada Julai-Ogos juga berjalan dengan amat baik. Kami juga akan menuntut diktator dijatuhkan, Sheikh Hasina dibawa kembali ke Bangladesh dari India,” kata Yunus.

India dan Bangladesh mempunyai perjanjian ekstradisi dua hala.

Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos lalu susulan protes besar-besaran pada Julai dan Ogos. Selepas Hasina melarikan diri, Yunus yang juga pemenang Hadiah Nobel mengambil alih jawatan pada 8 Ogos.

Kira-kira 1,500 orang terkorban dalam protes itu, kata Yunus dalam ucapannya.

“Kerajaan sedang mengumpul maklumat setiap kematian dengan teliti. Seramai 19,931 orang cedera dalam pemberontakan ini.”

Tribunal Jenayah Antarabangsa yang berpusat di Dhaka mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasina dan 45 individu lain, termasuk pembantu rapatnya atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan ketika protes berlangsung.

Sebelum ini, tribunal meminta polis antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah untuk menangkap Hasina.

Tribunal mengemukakan lebih 60 aduan terhadap Hasina, parti Liga Awami, anggota Kabinetnya serta beberapa bekas pegawai kanan penguat kuasa undang-undang, atas dakwaan mereka terlibat kes kehilangan dirancang, pembunuhan bahkan genosid.

Yunus berkata, kerajaan sementara itu menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat semua kehilangan dirancang semasa pemerintahan terdahulu.

Setakat bulan lalu, katanya, pihak berkuasa menerima laporan 1,600 kes kehilangan paksa dan jumlah itu dijangka melebihi 3,500 kes.

Memandangkan permintaan parti politik untuk mengadakan PRU semakin meningkat, Yunus berkata, sebaik sahaja keputusan pembaharuan pilihan raya dibuat, pelan hala tuju pilihan raya juga akan diumumkan.

“Kereta api pilihan raya telah memulakan perjalanannya; ia tidak akan berhenti. Tetapi, kami perlu menyelesaikan banyak tugas sepanjang perjalanan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.