Angka maut di Gaza hampiri 44,000

Angka maut di Gaza hampiri 44,000

Semalam, tentera Israel membunuh 47 lagi rakyat Palestin.

Jumlah sebenar mangsa tidak diketahui memandangkan masih ada mayat terperangkap di bawah runtuhan, selain pergerakan ambulans disekat. (Gambar AP)
GAZA:
Pasukan pendudukan Israel melakukan enam pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 47 rakyat Palestin terbunuh dan 139 lain cedera, menurut Agensi Berita Palestin (WAFA) memetik laporan perubatan.

Pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Okt 2023 meningkat kepada 43,846 kematian berdaftar, dengan tambahan 103,740 individu mengalami kecederaan. Majoriti mangsa wanita dan kanak-kanak.

Menurut sumber sama, perkhidmatan kecemasan masih tidak dapat menjangkau ramai mangsa dan mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau bergelimpangan di jalan di seluruh kawasan konflik itu kerana pasukan pendudukan Israel terus menghalang pergerakan ambulans dan kru pertahanan awam.

Serangan pembunuhan beramai-ramai Israel berterusan tanpa henti walaupun terdapat gesaan daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk gencatan senjata segera dan arahan daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menggesa langkah-langkah mencegah pembunuhan beramai-ramai dan meredakan situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.