
Hospital diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, waktu operasi klinik dilanjutkan beberapa jam dan petugas perubatan diarah melakukan syif tambahan di bandar Lahore dan Multan, kata Menteri Wilayah, Marriyum Aurangzeb.
Kedua-dua bandar di Wilayah Punjab dengan jumlah penduduk melebihi 18 juta orang itu paling teruk terjejas akibat jerebu mengandungi toksik yang bermula awal bulan ini, menurut Aurangzeb.
Katanya, dua bandar itu akan berada di bawah perintah sekatan pergerakan penuh setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad tanpa sebarang aktiviti luar dibenarkan, kecuali perubatan kecemasan.
Langkah itu sebahagian daripada beberapa tindakan yang diperkenalkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk larangan penggunaan beca bermotor, aktiviti barbeku, restoran, relau bata dan kenderaan mempunyai enjin rosak untuk mengurangkan pelepasan pencemaran.
Lahore dengan populasi lebih 13 juta orang menjadi bandar paling tercemar di dunia sepanjang bulan ini, dengan kualiti udara diklasifikasikan berbahaya.
Beberapa bandar Asia Selatan lain, termasuk ibu negara India, New Delhi dan Dhaka di Bangladesh turut menghadapi masalah sama.
Semua pelajar sekolah rendah di New Delhi diarahkan menjalani pembelajaran jarak jauh buat sementara. Selain itu, hampir semua kerja pembinaan di dalam dan sekitar bandar itu dilarang, manakala lalu lintas jalan raya dihadkan.
Selepas lebih dua minggu dengan kualiti udara secara konsisten dalam kategori “sangat buruk”, keadaan semakin merosot sehingga pihak berkuasa India kini mengklasifikasikan situasi itu “serius”.
Selama beberapa hari, jerebu mengandungi zarah halus, jelaga, sulfur dioksida dan gas lain meliputi New Delhi, dengan tahap toksin jauh melebihi had yang dianggap selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Minggu lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberi amaran lebih 11 juta kanak-kanak mungkin berisiko mengalami masalah paru-paru di Punjab, manakala seorang menteri Pakistan bimbang boleh berlaku lebih 250,000 kematian dikaitkan dengan udara toksik itu.
Doktor di Lahore melaporkan mereka merawat ribuan pesakit mengalami komplikasi pernafasan setiap hari.