
JAKARTA: Gunung Ibu di wilayah Maluku Utara, Indonesia meletus pada Khamis dan menghamburkan awan mengandungi abu setinggi 3km menyebabkan amaran penerbangan kedua tertinggi dikeluarkan, menurut Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi.
Letusan pada 2.22 petang waktu tempatan memuntahkan kepulan abu ke arah barat kawah, lapor Xinhua.
Penduduk dilarang berada dalam lingkungan radius 5km dari kawah dan dinasihatkan memakai pelitup muka apabila melakukan aktiviti di luar rumah.
Notis penerbangan dikeluarkan dengan tahap amaran jingga, amaran kedua tertinggi melarang penerbangan di sekitar Gunung Ibu.
Gunung Ibu setinggi 1,325m antara 127 gunung berapi aktif di Indonesia.