Qatar nafi tarik diri jadi pengantara gencatan senjata Gaza

Qatar nafi tarik diri jadi pengantara gencatan senjata Gaza

Rundingan akan disambung semula apabila pihak terlibat menunjukkan 'kesediaan dan kesungguhan menamatkan perang', kata Qatar.

Palestine EPA Images
Qatar menegaskan kesediaannya memimpin usaha menamatkan perang di Gaza dan memastikan pembebasan tawanan. (Gambar EPA Images)
DOHA:
Qatar menafikan laporan media yang mendakwa negara itu menarik diri sebagai pengantara dalam rundingan gencatan senjata Gaza.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar Majed Mohammed Al Ansari berkata, laporan itu tidak tepat, lapor agensi berita Qatar (QNA).

Beliau menjelaskan bahawa usaha kini tergendala buat sementara waktu dan akan disambung semula apabila pihak-pihak yang terlibat menunjukkan ‘kesediaan dan kesungguhan untuk menamatkan perang serta menghentikan penderitaan terhadap orang awam akibat keadaan kemanusiaan yang dahsyat di wilayah itu’.

Majed menegaskan kesediaan Qatar memimpin usaha menamatkan perang dan memastikan pembebasan tawanan.

“Qatar tidak akan membenarkan pengantaraan menjadi alasan untuk memeras ugut, seperti yang telah kita lihat melalui manipulasi sejak kegagalan jeda pertama dan perjanjian pertukaran wanita dan kanak-kanak, terutama dalam menarik balik komitmen yang telah dipersetujui melalui pengantaraan, serta penggunaan berterusan rundingan bagi menghalalkan perang demi kepentingan politik sempit,” katanya dalam kenyataan kepada QNA.

Beliau turut menyifatkan laporan media berhubung pejabat Hamas di Doha tidak tepat, sambil menegaskan bahawa tujuan utama pejabat itu di Qatar adalah sebagai saluran komunikasi antara pihak berkaitan.

Beliau turut menegaskan keperluan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi.

“Saluran ini menyumbang kepada pencapaian gencatan senjata pada peringkat sebelumnya dan mengekalkan ketenangan di wilayah terbabit dalam usaha pertukaran tawanan wanita serta kanak-kanak pada November tahun lepas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.