Polis Singapura tingkat rondaan susulan insiden tikam paderi

Polis Singapura tingkat rondaan susulan insiden tikam paderi

Kementerian Dalam Negeri berkata setakat ini tiada bukti serangan bermotifkan agama atau tindakan keganasan.

Pihak berkuasa Singapura akan mohon reman untuk menilai tahap psikiatri lelaki menikam paderi, Christopher Lee, 57, di Gereja St Joseph semalam. (Gambar Facebook)
SINGAPURA:
Polis Singapura meningkatkan rondaan di rumah ibadat bagi memberi jaminan kepada orang ramai susulan kejadian tikaman seorang paderi di Gereja St Joseph di Bukit Timah semalam.

Kementerian Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataan, berkata polis juga sedang berhubung dengan Gereja St Joseph untuk menawarkan sokongan dan sumber, termasuk bantuan psikologi profesional untuk jemaah, termasuk kanak-kanak yang menyaksikan serangan itu.

Dalam insiden itu, Christopher Lee, 57, seorang paderi di Gereja St Joseph diserang lelaki bersenjatakan pisau semasa meraikan upacara misa, pada 5.30 petang.

Senjata yang digunakan suspek, 37, yang mempunyai rekod jenayah lampau mencederakan orang dan kesalahan berkaitan dadah berjaya dirampas dua anggota jemaah dan suspek kemudiannya ditahan pegawai polis.

MHA berkata, suspek dipercayai bertindak bersendirian, dan setakat ini tiada bukti menunjukkan serangan itu bermotifkan agama atau merupakan tindakan keganasan.

“Suspek akan didakwa pada Isnin kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya, dan polis akan mendapatkan perintah mahkamah agar suspek direman untuk penilaian psikiatri,” tambah MHA.

Kementerian itu juga menggesa orang ramai mengelakkan sebarang spekulasi sementara siasatan sedang dijalankan.

Sementara itu, Uskup Agung Singapura Kardinal William Goh, dalam surat pastoralnya berkata gereja akan menyemak semula protokol keselamatan sedia ada di parokhinya sebagai respons terhadap insiden berkenaan.

Goh berkata, adalah tepat pada masanya untuk memikirkan keselamatan gereja, lebih-lebih lagi insiden itu bukan sahaja menyebabkan kecederaan parah kepada seorang pemimpin agama di rumah ibadat, tetapi juga menimbulkan ketakutan masyarakat.

“Namun, kita juga mesti menyedari bahawa gereja kita adalah ruang awam. Melakukan langkah keselamatan yang berlebihan mungkin tidak menggalakkan penganut daripada datang untuk beribadat kerana kesulitan yang perlu mereka hadapi,” katanya.

Goh juga menekankan kepentingan untuk bersedia dari segi mental dan operasi sebagai sebuah komuniti bagi mencegah insiden serupa dan mengurangkan akibat apabila ia berlaku.

Beliau juga menyatakan bahawa ahli gereja telah dilatih untuk berwaspada dan digalakkan melaporkan individu mencurigakan serta sentiasa bekerjasama dengan MHA dan Pasukan Polis Singapura dalam hal keselamatan.

Goh menggesa semua jemaah gereja kekal berwaspada dan melaporkan apa-apa yang mencurigakan kepada anggota keselamatan dan meminta pemahaman apabila langkah kawalan orang ramai dilaksanakan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua yang hadir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.