Pemisah Balochistan letup stesen kereta api Pakistan, 20 maut

Pemisah Balochistan letup stesen kereta api Pakistan, 20 maut

Serangan nekad itu diakui dilakukan Tentera Pembebasan Balochistan yang berjuang menuntut kemerdekaan.

Angka korban dalam kejadian letupan stesen kereta api Quetta dijangka meningkat. (Gambar AP)
ISLAMABAD:
Sekurang-kurangnya 20 terbunuh dalam kejadian letupan menggegarkan stesen kereta api di Quetta, barat daya Pakistan dipercayai daripada serangan nekad, menurut pegawai tempatan.

Letupan di wilayah Balochistan itu turut menyebabkan lebih 30 cedera dan angka korban dijangka meningkat, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ketika kejadian, ratusan penumpang sedang menunggu di platform stesen berkenaan. Foto di media sosial menunjukkan platform rosak teruk, dengan bumbung runtuh akibat impak letupan.

“Siasatan awal menunjukkan ia adalah serangan bunuh diri,” kata pegawai polis tempatan, Azam Baloch.

Bagaimanapun, polis sedang mengumpul bukti dan menjalankan siasatan lanjut.

Susulan kejadian, darurat telah diisytiharkan di hospital sekitar bandar berkenaan, menurut jurucakap kerajaan Balochistan, Shahid Rind.

Tentera Pembebasan Balochistan (BLA), kumpulan militan etnik Baloch yang berjuang untuk kemerdekaan daripada Pakistan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Bulan lalu, kumpulan itu juga mengaku bertanggungjawab atas serangan yang mengorbankan dua jurutera China di Karachi dan 20 pelombong dalam kejadian lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.