
Ketua Polis Region 9 Piyawat Chalermsi berkata, datuk bandar berusia 55 tahun itu diserang empat lelaki yang menyamar sebagai wanita dengan memakai jubah hitam di sebuah kilang di Pekan Rueso.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan empat suspek berpakaian jubah hitam dan bersenjatakan M16 menyerbu bilik mesyuarat kilang berkenaan dan melepaskan tembakan ke arah Vichet.
“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal,” katanya.
Piyawat berkata, suspek hanya melepaskan tembakan ke arah Vichet dan tidak mencederakan tiga lagi petugas di dalam bilik mesyuarat itu.
Katanya, pihak polis turut menemukan 19 kelongsong peluru M16 di tempat kejadian dan sedang mempergiat usaha untuk mengenalpasti identiti suspek dan motif pembunuhan kejam itu.
Beliau tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan berkait dengan isu keselamatan, konflik perniagaan, masalah politik tempatan atau masalah peribadi.
Vichet merupakan datuk bandar Rueso untuk penggal kedua dan tempoh perkhidmatannya dijangka tamat pada Mac tahun depan.
Beliau juga dilantik sebagai presiden Persatuan Sukan Narathiwat tiga hari sebelum kejadian.