Kanada haram operasi TikTok

Kanada haram operasi TikTok

Keputusan menghentikan operasi TikTok di Kanada susulan tinjauan keselamatan ketat.

Menteri Inovasi Kanada Francois-Philippe Champagne berkata kerajaan tidak menyekat akses rakyat kepada aplikasi TikTok atau keupayaan mereka mencipta kandungan. (Gambar EPA Images)
TRENTON:
Kanada mengharamkan TikTok daripada menjalankan perniagaan di negara itu susulan kebimbangan terhadap keselamatan negara, umum Menteri Inovasi, Francois-Philippe Champagne pada Rabu.

Ini bermakna TikTok mesti menutup pejabatnya di Toronto dan Vancouver, walaupun rakyat Kanada masih boleh menggunakan aplikasi itu, Champagne mengingatkan mereka supaya berhati-hati.

“Kerajaan tidak menyekat akses rakyat Kanada kepada aplikasi TikTok atau keupayaan mereka mencipta kandungan.

“Penting bagi rakyat Kanada mengamalkan keselamatan siber baik dan menilai risiko yang mungkin timbul daripada penggunaan platform media sosial serta aplikasi, termasuk bagaimana maklumat mereka mungkin dilindungi, diurus, digunakan dan dikongsi pihak asing,” katanya dalam kenyataan dipetik Agensi Anadolu.

Champagne berkata, keputusan menghentikan operasi TikTok di Kanada susulan tinjauan keselamatan ketat.

“Keputusan ini berdasarkan maklumat dan bukti dikumpulkan sepanjang tinjauan serta nasihat komuniti keselamatan dan perisikan Kanada serta rakan kongsi kerajaan lain.”

Sebelum ini, Perkhidmatan Perisikan Keselamatan Kanada memberi amaran kepada rakyatnya berhenti menggunakan aplikasi itu.

Penggubal undang-undang di Amerika Syarikat membuat kesimpulan sama dan TikTok mungkin menghadapi penutupan penuh di AS pada Januari depan, jika pemiliknya ByteDance tidak menjual operasinya di negara itu.

Pegawai AS mengambil tindakan itu dengan mendakwa TikTok boleh dipaksa kerajaan China untuk menyerahkan data mengenai rakyat Amerika yang diperoleh melalui penggunanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.