Australia cadang haram media sosial untuk bawah 16 tahun

Australia cadang haram media sosial untuk bawah 16 tahun

Pengecualian untuk kebenaran ibu bapa akan dibatalkan dan platform media sosial perlu memastikan akses disekat.

social media
Rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen Australia tahun ini, dengan undang-undang itu akan berkuat kuasa 12 bulan selepas ratifikasi.
SYDNEY:
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata kerajaan akan menggubal undang-undang untuk mengharamkan media sosial buat kanak-kanak bawah 16 tahun.

“Media sosial memudaratkan anak-anak kita dan sekarang masa untuk melakukannya,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen tahun ini, dengan undang-undang itu bakal berkuat kuasa 12 bulan selepas disahkan penggubal undang-undang.

Tidak ada pengecualian untuk pengguna yang mendapat kebenaran ibu bapa.

“Tanggungjawab terletak pada platform media sosial untuk menunjukkan mereka mengambil langkah munasabah bagi menyekat akses. Tanggungjawab bukan pada ibu bapa atau anak muda,” kata Albanese.

Menteri Komunikasi, Michelle Rowland, berkata platform terjejas termasuk Instagram dan Facebook, TikTok dan X. YouTube mungkin termasuk dalam skop perundangan itu.

Empat syarikat terjejas tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Sejumlah negara berikrar mengekang penggunaan media sosial untuk kanak-kanak melalui undang-undang, walaupun dasar Australia antara yang paling ketat.

Tahun lalu, Perancis mencadangkan pengharaman media sosial untuk golongan bawah 15 tahun, tetapi ada yang dapat mengelak larangan itu dengan kebenaran ibu bapa.

Amerika Syarikat berdekad lamanya mengkehendaki syarikat teknologi mendapat kebenaran ibu bapa untuk mengakses data kanak-kanak bawah 13 tahun, menyebabkan kebanyakan platform media sosial melarang individu bawah umur itu mengakses perkhidmatan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.