Rusia, Ukraine saling tuduh halang pertukaran tawanan perang

Rusia, Ukraine saling tuduh halang pertukaran tawanan perang

Moscow menuduh Kyiv mensabotaj proses pertukaran itu dengan enggan menerima rakyatnya sendiri.

Russia, Ukraine POW
Pertukaran terakhir tawanan perang berlaku pertengahan bulan lalu, dengan setiap pihak mengembalikan 95 tahanan. (Gambar AP)
MOSCOW:
Kyiv menggesa Moscow menyediakan senarai tawanan perang Ukraine selepas Rusia mendakwanya mensabotaj proses pertukaran tahanan.

Ketika meminta senarai tawanan perang Ukraine daripada rakan sejawatannya di Rusia, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Ukraine, Dmytro Lubinets menulis di Telegramnya: “Kami sentiasa bersedia menukar tawanan perang!”

Kyiv dan Moscow kerap bertukar tahanan sejak pencerobohan berskala penuh Rusia ke atas jirannya yang lebih kecil pada 2022. Pertukaran terakhir berlaku pertengahan bulan lalu, dengan setiap pihak membawa pulang 95 tahanan.

Sabtu lalu, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, berkata Ukraine pada dasarnya mensabotaj proses pertukaran itu dan enggan menerima semula rakyatnya sendiri.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan Rusia menawarkan penyerahan 935 tawanan perang Ukraine, tetapi Kyiv hanya mengambil 279 orang daripadanya.

Lubinets pula berkata, Ukraine sentiasa bersedia menerima rakyatnya dan menuduh Rusia memperlahankan proses pertukaran itu.

Sabtu lalu, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Rusia, Tatyana Moskalkova dilaporkan mendakwa Ukraine “mempolitikkan” isu itu.

“Kami menganggap perlu untuk kembali kepada dialog membina dan mempercepatkan pertukaran tahanan,” tulisnya di Telegram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.