Jeju dilanda hujan November paling lebat dalam 101 tahun

Jeju dilanda hujan November paling lebat dalam 101 tahun

Hujan antara 150mm hingga 347mm membasahi Jeju dari Jumaat hingga awal pagi Sabtu.

thunder
Agensi cuaca memaklumkan bahawa beberapa bahagian Pulau Jeju, Korea Selatan, mungkin mengalami hujan sehingga lewat Sabtu. (Gambar Bernama)
SEOUL:
Lebih 300mm hujan melanda selatan Pulau Jeju selama dua hari minggu ini, mencatatkan hujan paling lebat pada November dalam tempoh 101 tahun di kawasan itu, lapor agensi berita Yonhap.

Hujan antara 150mm hingga 347mm membasahi Jeju dari Jumaat hingga awal pagi Sabtu, termasuk 333mm di kawasan pergunungan utara, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea cawangan Jeju.

Pada Jumaat sahaja, kawasan utara pulau itu menerima 238.4mm hujan, menandakan rekod hujan harian tertinggi bagi November sejak 1923, ketika pemerhatian cuaca pertama kali dilakukan di kawasan itu.

Rekod harian tertinggi sebelumnya bagi November ialah 102 mm, dicatatkan pada 2011.

Hujan lebat itu menyebabkan pokok tumbang dan jalan serta bangunan di Jeju dinaiki air, dengan 19 laporan kerosakan berkaitan hujan diterima setakat Jumaat malam.

Pihak berkuasa turut melarang akses ke Gunung Halla kerana hujan lebat pada hari sebelumnya, tetapi sekatan itu sebahagiannya ditarik balik pada Sabtu.

Agensi cuaca memaklumkan bahawa beberapa bahagian Jeju mungkin mengalami hujan sehingga lewat Sabtu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.