
Jumlah korban terbaru ini dicatatkan selepas kejadian banjir dahsyat berlaku dalam tempoh satu malam, disebabkan oleh ribut terburuk abad ini.
Ribut itu setanding dengan dua ribut lain pada 1980an, lapor Agensi Anadolu memetik agensi meteorologi Sepanyol.
Ribut itu bermula pada Selasa, membawa hujan lebat menyamai taburan hujan setahun dalam beberapa jam, menyebabkan air sungai melimpah dengan cepat, dengan kejadian puting beliung turut berlaku.
Jalan raya dan bandar yang mula dibanjiri air mendorong pihak berkuasa memotong perkhidmatan kereta api di sekitar Valencia, membatalkan penerbangan, dan akhirnya meminta penduduk untuk kekal berada di dalam rumah pada Selasa malam.
Apabila air sungai melimpah ke bandar, jalan raya dan kawasan kejiranan, ratusan orang terperangkap di atas bumbung rumah, di dalam kenderaan, pusat beli-belah, atau kawasan perindustrian; malah ada yang berpaut pada pokok.
Penduduk yang terdesak menggunakan media sosial untuk meminta bantuan selepas talian kecemasan tempatan terhenti akibat bangunan ditenggelami air dan jumlah panggilan yang tinggi.
Akhbar harian Sepanyol El Pais melaporkan ratusan orang masih menunggu untuk diselamatkan pada pagi Rabu.
“Kami tidak dapat menyelamatkan mangsa apabila mereka sangat memerlukan,” kata Agensi Anadolu memetik Jose Miguel Basset, ketua anggota bomba di wilayah Valencia, kepada penyiar Sepanyol RTVE.
“Dan kami masih tidak mempunyai akses ke semua tempat yang memerlukan penyelamatan.”
Kerajaan Valencia membuka talian telefon khusus untuk melaporkan orang hilang.
Penduduk masih digesa untuk mengelak sebarang perjalanan lebuh raya, dan kebanyakan sekolah di wilayah autonomi itu kekal ditutup.
Sementara itu, sistem ribut terus bergerak melintasi Semenanjung Iberia, dengan kebanyakan kawasan di timur laut dan barat daya Sepanyol diletakkan dalam amaran cuaca hujan lebat.