
Presiden Airports of Thailand (AOT) Kerati Kijmanawat berkata, Sistem Pengecaman Biometrik Automatik baharu ini akan dilaksanakan di Suvarnabhumi (BKK); Don Mueang (DMK); Chiang Mai (CNX); Mae Fah Luang – Chiang Rai (CEI); Phuket (HKT); dan Hat Yai (HDY).
Beliau berkata, sistem yang menggunakan teknologi pengecaman wajah ini direka untuk mempercepatkan proses pengecaman, mengurangkan masa menunggu dan memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar.
“AOT komited untuk mewujudkan pengalaman lapangan terbang yang moden dan menyenangkan untuk para penumpang,” katanya dalam kenyataan.
“Sistem yang telah dibangunkan dan diuji secara menyeluruh ini akan mengurangkan masa menunggu di setiap titik perkhidmatan di enam lapangan terbang AOT.
“Penumpang domestik boleh menggunakan sistem ini mulai 1 Nov 2024, manakala penumpang antarabangsa akan mula mengaksesnya pada 1 Dis. Semua penumpang mesti memberi persetujuan untuk penggunaan data biometrik.”
Kerati mengesahkan sistem biometrik ini sedia meningkatkan kemudahan bagi penumpang domestik dan antarabangsa dengan mengurangkan masa yang dihabiskan di setiap tempat perkhidmatan, membolehkan mereka meluangkan lebih banyak masa untuk membeli-belah bebas cukai, menjamu selera atau berehat.
Sistem ini melengkapi Sistem Pemprosesan Penumpang Penggunaan Biasa sedia ada, yang mengintegrasikan lima sistem yang saling bersambung, masing-masing dilengkapi fungsi biometrik, memastikan kesalinghubungan data sepenuhnya di seluruh rangkaian.
“AOT berdedikasi untuk memodenkan kemudahan lapangan terbang bagi memenuhi keperluan penumpang dan mencipta pengalaman perjalanan yang luar biasa, selaras dengan visi AOT dalam pengurusan lapangan terbang bertaraf dunia,” tambahnya.
AOT menjangkakan jumlah penumpang melebihi 120 juta bagi tahun kewangan 2024 dan menganggarkan jumlah tersebut boleh mencapai 130 juta pada tahun kewangan 2025.