
Undang-undang baharu mengharamkan penjualan vape pakai buang mulai 1 Jun 2025 itu telah dibentangkan di Parlimen, menurut Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (Defra) pada Rabu.
Defra berkata, perniagaan akan mempunyai masa sehingga tarikh akhir itu ‘untuk menjual baki stok yang ada dan bersiap sedia untuk penguatkuasaan larangan’.
Menurutnya, kerajaan UK dan kerajaan yang diberi autonomi telah bekerjasama rapat mengenai larangan itu dan akan ‘menyelaraskan tarikh penguatkuasaan’.
Tahun lepas, dianggarkan hampir lima juta vape sekali guna sama ada dibuang atau dicampakkan bersama sisa biasa setiap minggu di UK, hampir empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Defra berkata, penggunaan peranti rokok elektronik di England meningkat lebih 400% antara 2012 dan 2023, dengan 9.1% rakyat Britain kini membeli dan menggunakan produk itu.
“Amat membimbangkan apabila satu perempat daripada kanak-kanak berusia 11-15 tahun menggunakan vape tahun lepas dan kami tahu produk pakai buang menjadi pilihan utama bagi kebanyakan kanak-kanak itu,” kata Menteri Kesihatan Andrew Gwynne.
“Mengharamkan vape pakai buang bukan sahaja akan melindungi alam sekitar tetapi yang lebih penting, mengurangkan daya tarikan peranti rokok elektronik kepada kanak-kanak dan menjauhkan produk ini daripada golongan muda yang terdedah.”
Menurut Gwynne, kerajaan juga akan memperkenalkan Rang Undang-Undang Tembakau dan Vape – intervensi kesihatan awam terbesar dalam satu generasi – yang akan melindungi golongan muda daripada ketagihan nikotin dan membuka jalan untuk UK yang bebas asap rokok.
Pada Isnin, Setiausaha Kesihatan Wes Streeting berjanji memperketatkan undang-undang merokok dengan rang undang-undang yang ‘lebih bercita-cita tinggi’ daripada Konservatif.