Glasgow tuan rumah Sukan Komanwel 2026

Glasgow tuan rumah Sukan Komanwel 2026

Bandar Scotland itu menjadi tuan rumah temasya sukan itu buat kali kedua selepas 2014.

Glasgow, Scotland diisytiharkan menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos. (Gambar Wikipedia)
KUALA LUMPUR:
Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) mengesahkan Glasgow di Scotland sebagai bandar tuan rumah Sukan Komanwel 2026 buat kali kedua selepas 2014.

CGF dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hanya 10 sukan akan dipertandingkan pada edisi kali ini, yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, di empat lokasi sekitar radius 12.8km berbanding 19 sukan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England.

“Acara sukan yang akan dipertandingkan ialah olahraga dan olahraga para; renang dan renang para; gimnastik artistik; berbasikal trek dan berbasikal trek para; bola jaring; angkat berat dan ‘powerlifting’ para; tinju; judo; boling dan boling para; bola keranjang 3×3 dan bola keranjang kerusi roda 3×3.

“Empat lokasi terdiri daripada Stadium Scotstoun, Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, Arena Emirates termasuk Velodrom Sir Chris Hoy, dan Scottish Event Campus (SEC),” menurut CGF dalam kenyataan.

“Temasya ini menjanjikan festival sukan yang sangat menarik, meraikan budaya dan kepelbagaian yang memberi inspirasi kepada atlet dan sukan, dengan pengalaman peminat yang lebih mudah diakses berbanding sebelum ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CGF Katie Sadleir.

Victoria, Australia sepatutnya menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, tetapi menarik diri pada Julai tahun lepas ekoran peningkatan kos penganjuran, daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

CGF menawarkan suntikan dana sebanyak £100 juta (RM602 juta) kepada Malaysia, yang menjadi tuan rumah temasya sukan itu pada 1998, dan negara anggota lain untuk menjadi tuan rumah, sekali gus menyelamatkan temasya sukan yang diadakan setiap empat tahun sekali itu.

Bagaimanapun, Mac lepas, Malaysia menolak tawaran CGF selepas menimbangkan semua aspek penganjuran, termasuk implikasinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.