4 terbunuh dalam serangan Israel berhampiran hospital Beirut

4 terbunuh dalam serangan Israel berhampiran hospital Beirut

Serangan udara itu juga menyebabkan 24 lagi mangsa cedera dan kerosakan besar pada hospital berkenaan.

Dahiyeh_strikes_Beirut
Hampir 2,500 orang terbunuh dan lebih 11,500 yang lain cedera dalam serangan kejam Israel terhadap Lubnan sejak tahun lalu. (Gambar AP)
BEIRUT:
Sekurangnya empat orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak dalam serangan udara Israel lewat malam tadi berhampiran sebuah hospital di ibu negara Lubnan, lapor Anadolu.

Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan seramai 24 lagi cedera dalam serangan udara yang menyasarkan kawasan sekitar Hospital Universiti Rafik Hariri di pinggir selatan Beirut.

Serangan turut menyebabkan kerosakan besar pada hospital berkenaan.

Koresponden Anadolu melaporkan bahawa pesawat perang Israel melancarkan serangan baharu di kawasan Haret Hreik sejurus selepas mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk.

Jet pejuang Israel turut menyerang kawasan Al-Awza’i di pinggir Beirut.

Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari dalam satu kenyataan mendakwa Israel akan meneruskan serangan di Beirut yang menyasarkan aset ekonomi Hizbullah.

Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di Lubnan sejak 23 Sept terhadap apa yang didakwa sebagai sasaran Hizbullah, dalam peningkatan ketegangan daripada perang rentas sempadan antara Israel dan kumpulan Lubnan itu sejak permulaan serangan kejam Israel ke atas Gaza.

Hampir 2,500 orang terbunuh dan lebih 11,500 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak tahun lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.